Mahkamah Batal Kemenangan Parlimen Kuala Terengganu, Terbukti Pas Rasuah Pengundi – Tengku Haphiz

KUALA TERENGGANU, 6 Julai – Salah laku Pas dalam merasuah pengundi terutamanya di Terengganu telah terbukti kesahihannya apabila mahkamah membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim pada minggu lalu.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera berkata, penghujahan hakim bagi permohonan pempetisyen untuk membatalkan kemenangan Parlimen Marang dan Kuala Terengganu cukup membuktikan berlakunya salah laku tersebut.

“Kalau kita tengok penghujahan hakim untuk kedua-dua kes ini sebenarnya memang wujud unsur-unsur rasuah. Cuma apabila masuk ke mahkamah, ada penghujahan teknikal di peringkat pembelaan seperti di Marang contohnya, saksi utama tidak dapat dibawa ke mahkamah.

“Tetapi dalam penghujahan hakim jelas menunjukkan bahawa ada unsur-unsur rasuah di kalangan para pemimpin Pas ini dan mereka mengklasifikasikan pemimpin-pemimpin mereka ini bukan agen kepada calon ketika itu.

“…hanya mengklasifikasikan mereka ini (pemberi rasuah) bukan agen kepada calon Parlimen Marang ketika itu. Tetapi mereka tetap ahli dan pemimpin Pas,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, Mahkamah Marang menolak petisyen yang dikemukakan oleh Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu disebabkan saksi utama tidak dapat dibawa ke mahkamah.

“Ianya bermaksud, apabila penghujahan hakim di Kuala Terengganu menafikan kemenangan mereka atas sebab rasuah, di Marang pun penghujahan hakim turut menyebut bahawa ada unsur-unsur rasuah di kalangan para pemimpin Pas kepada rakyat.

“Sama juga seperti di Marang, kita nampak dan faham bahawa berlaku juga rasuah di sana. Cuma teknikal di peringkat mahkamah menolak petisyen tersebut atas faktor saksi utama tidak dapat dibawa ke mahkamah. Kesimpulannya, memang Pas rasuahlah. Itu sahaja,” katanya lagi.

Pada minggu lalu media melaporkan Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu, membatalkan kemenangan calon Pas, Datuk Ahmad Amzad Hashim bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) ke-15.

Keputusan dibuat Hakim Mohd Firuz selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU ke-15.

Walaubagaimanapun, Tan Sri Abdul Hadi Awang kekal sebagai Ahli Parlimen Marang selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu, menolak petisyen yang difailkan calon Barisan Nasional (BN) bagi membatalkan kemenangan Presiden Pas itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hassan Abdul Ghani, yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Pilihan Raya, membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pempetisyen, Jasmira Othman, gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.