UMNO/BN Parti Berstruktur… Sertai Kerajaan Perpaduan, Bukan Keputusan Individu – Dr Asyraf

KLANG, 5 Julai – Keputusan UMNO/Barisan Nasional (BN) bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk Kerajaan Perpaduan bukan berdasarkan kepada individu bahkan parti.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, UMNO/BN merupakan sebuah parti yang berstruktur dan berperlembagaan maka sebarang keputusan melibatkan dasar mestilah diputuskan oleh Perhimpunan Agung UMNO (PAU) ataupun Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

“Apa yang berlaku ini bukan perancangan dan pilihan individu sebab kalau dari segi pendirian kita yang dibuat secara bersama, kena ingat UMNO ini parti yang ada sistem, peraturan dan berstruktur. Tidak ada parti yang sama dengan kita.

“Apabila saya kata UMNO ini berstruktur, nak buat keputusan ataupun dasar, sebelum pilihan raya contohnya dalam perlembagaan kata apa jua keputusan dasar parti, mesti dan wajib ditetapkan oleh pertama Perhimpunan Agung UMNO (PAU). Itu adalah yang paling tinggi dalam membuat keputusan. Presiden tidak boleh melangkaui PAU.

“Jika ketiadaan PAU, maka Majlis Kerja Tertinggi (MKT) adalah badan tertinggi untuk membuat perkara-perkara dasar tadi. Tidak ada dalam perlembagaan kata Presiden boleh buat keputusan,” katanya ketika sesi dialog isu semasa anjuran UMNO Bahagian Kapar, semalam.

Jelasnya, UMNO/BN membentuk Kerajaan Perpaduan dengan 19 parti-parti politik dan Dap hanyalah salah satu daripadanya.

“Ini adalah untuk kestabilan negara sebagaimana titah YDA Agong. Baginda mahukan negara yang stabil dan rakyat yang sejahtera. Berapa kali kita nak berantakan,” katanya yang merujuk kepada krisis polemik politik selepas PRU-14 apabila kerajaan bertukar beberapa kali dengan perdana menteri berganti sehingga empat kali.

Dr Asyaf turut menerangkan berkaitan kronologi perjalanan pembentukan Kerajaan Perpaduan yang sebelumnya ditolak oleh PPBM dan Pas.

“Banyak sangat tohmahan, ramai sangat yang buat fitnah seolah kita ini tak ada peraturan, tak ada Perlembagaan, buat keputusan semborono, Presiden buat sesukati sedangkan semua tuduhan itu tak betul. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit