Terus Tekad Tawan Terengganu, Dedah Pelbagai Kepincangan Pentadbiran PN/Pas – Tengku Zaihan

MARANG, 5 Julai – Pelbagai kepincangan dan salah laku telah dilakukan oleh kerajaan Negeri Terengganu di bawah kepimpinan Perikatan Nasional (PN) ataupun Pas termasuklah pengkhianatan kepada rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman berkata, pelbagai pendedahan telah dilakukan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said terutamanya berkaitan isu penjualan tanah kepada kroni kerajaan negeri.

“Banyak kepincangan, salah laku dan tatakelola dari segi moralnya serta khianat kepada rakyat yang dilakukan oleh kerajaan Negeri Terengganu yang dipimpin oleh PN ataupun Pas. Ianya merupakan perkara yang tidak boleh diterima.

“Pelbagai pendedahan yang telah dilakukan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said. Sebagai contoh, isu tanah seluas 70 ekar yang harga premiumnya hanya RM1,000 sahaja untuk satu ekar.

“Sedangkan, ada petani yang memohon tanah tidak sampai lima ekar iaitu 1.5 hektar sahaja tetapi perlu membayar premium sebanyak RM155,000. Perkara tersebut merupakan sesuatu yang agak sukar untuk diterima,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal tiba tidak lama lagi, pelbagai bengkel dan perjumpaan telah diadakan bagi proses post-mortem untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan 15.

“Kita telah mengadakan beberapa bengkel dan perjumpaan untuk memantapkan lagi kesiapsiagaan menjelang PRN. Kita juga telah melakukan post-mortem pasca PRU ke-14 dan 15 untuk menyediakan beberapa perancangan rapi.

“Hasil dan dapatan daripada post-mortem tersebut, kita berhasrat untuk melaksanakan sebaik mungkin apa jua perancangan dibuat bagi menawan semula hati para pengundi atas pagar dan juga pihak yang kecewa dengan tingkah laku kerajaan sedia ada.

“Diharapkan agar para pengundi di Terengganu boleh menilai segala perkara dari setiap sudut dan buat pilihan yang terbaik pada PRN ini agar kepentingan rakyat dapat didahulukan,” katanya lagi.

Kerajaan Negeri Terengganu yang ditunjangi oleh Pas dianggap telah mengkhianati rakyat kerana menjual tanah seluas 70 ekar dengan harga amat murah kepada kroni mereka.

Perkara itu didedahkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said pada satu sidang media selepas program Ceramah Perdana Gelombang Biru 2.0 dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu pada Khamis. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.