Gaji Minimum: Puteri UMNO Sambut Baik, Harap Dilaksana Pada MTEN Kelak

KUALA LUMPUR, 5 Julai – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Selangor, Siti Nuruldiayana Mat menyambut baik kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang menyatakan bahawa kerajaan perlu mengetatkan keseimbangan dan memastikan kenaikan gaji secara beransur-ansur.

Katanya, perkara itu diharapkan dapat dilaksanakan melalui pelaksanaan gaji minimum dan sebahagian lagi menerusi gaji progresif yang bakal dibentangkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), Ogos ini.

“Susulan kenyataan Menteri Ekonomi yang menyatakan kerajaan perlu mengetatkan keseimbangan dan memastikan berlaku kenaikan gaji secara beransur-ansur.

“Perkara itu, diharap dapat dilakukan melalui pelaksanaan gaji minimum, dan sebahagian lagi menerusi gaji progresif yang dijangka dibentangkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada Ogos ini,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurutnya, ini merupakan satu tindakan yang wajar bagi menyelesaikan masalah kos sara hidup rakyat yang semakin membebankan.

“Pergerakan Puteri UMNO Malaysia menyambut baik kenyataan beliau dan berharap ia dapat dilaksanakan segera agar dapat mengurangkan beban kenaikan kos sara hidup hari ini.

“Kami melihat pandangan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli sebagai satu tindakan wajar untuk dilaksanakan bagi menyelesaikan masalah kos sara hidup rakyat Malaysia dengan memperkenalkan pelan tindakan kenaikan gaji beransur-ansur dalam MTEN, Ogos kelak,” katanya lagi.

Semalam, media melaporkan bahawa Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli beranggapan bahawa pembayaran gaji minimum RM1,500 kepada pekerja di semua sektor termasuk majikan yang mempunyai kurang lima pekerja bermula 1 Julai berpotensi memberi risiko kepada kenaikan inflasi.

Bagaimanapun katanya, unjuran itu berlaku dalam keadaan trend inflasi yang semakin mereda sejak sembilan bulan lalu, dengan kenaikan gaji diharap mampu menampung peningkatan harga barangan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.