Hanya Rakyat Kelantan Rasai Keperitan 33 Tahun Ditadbir Pas – Fikhran

KUALA LUMPUR, 4 Julai – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Fikhran Hamshi Mohamad Fatmi berkata sepanjang 33 tahun Kelantan di bawah pentadbiran Pas menyaksikan banyak permasalahan dan isu yang tidak dapat ditangani sebaiknya.

Jelas beliau, lebih mendukakan rakyat Darul Naim, pelbagai alasan dan rekaan cerita yang ditabur sehinggakan mereka yang tinggal di negeri ini merasa keperitan dengan isu-isu tidak berkesudahan.

“Sebagai contoh saya ambil yang sudah menjadi isu nasional, semua orang memperkatakan isu di Kelantan iaitu air. Kita lihat kalau dahulu hanya rakyat negeri ini yang tahu tetapi sekarang ianya sudah menjadi buah mulut seluruh negara.

“Sepatutnya perkara ini sudah boleh selesai lama, lagipun 2023 dengan pelbagai teknologi dan cara boleh dilakukan untuk selesaikannya tetapi kerajaan negeri tidak mampu.

“Dan bukan itu sahaja banyak perkara lain seperti ekonomi seperti peluang pekerjaan. Ini isu-isu sehingga sekarang selepas 33 tahun masih gagal untuk diselesaikan,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kota Bharu dalam pada itu berharap rakyat untuk menilai sebaiknya sebelum sekali lagi memberi kepercayaan kepada Pas.

Jelas Fikhran, Pilihan Raya Negeri (PRN) ini membuka peluang baharu untuk rakyat mengambil keputusan bijaksana dan memilih parti yang komited dalam membawa aspirasi rakyat dan pembangunan negeri.

“Rakyat boleh nampak perkara ini dan beri kepercayaan kepada Kerajaan Perpaduan iaitu calon UMNO dan Pakatan Harapan untuk selari dengan kerajaan Pusat bagi menyelesaikan masalah-masalah di negeri ini.

“Kami akan buktikan dengan menyelesaikan masalah ini dalam masa lima tahun, selepas itu rakyat Kelantan pilih sekali lagi berdasarkan hasil kerja daripada tempoh tersebut,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.