Dekati Anak Muda… UMNO Selangor Anjur Program Jalinan Pengundi Muda Depani PRN

SHAH ALAM, 4 Julai – Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO di bawah UMNO Negeri Selangor telah menganjurkan program Jalinan Pengundi Muda untuk bersama-sama mendekati golongan tersebut dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Menerusi hantaran di laman Facebook UMNO Selangor, ternyata ramai anak muda masih bersama dengan UMNO/Barisan Nasional (BN) di negeri tersebut.

Program Jalinan Pengundi Muda ini turut dihadiri oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Selangor, Datuk Mohd Imran Tamrin dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Selangor, Siti Nuruldiayana Mat Sehat.

Dalam pada itu, Muhamad Akmal turut memaklumkan menerusi hantaran di laman Facebooknya bahawa beliau sedang mengadakan Siri Jelajah ke negeri-negeri yang bakal berhadapan dengan PRN dan semalam beliau berada di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang serta Jeram.

BN dan Pakatan Harapan (PH) telah bersetuju untuk memeterai kerjasama sempena PRN ini dan difahamkan bahawa proses pembahagian kerusi telah selesai.

Pada 23 Jun media melaporkan bahawa DUN Selangor bagi penggal ke-14 secara rasminya telah dibubarkan bagi membuka laluan kepada PRN diadakan.

Pembubaran itu selaras dengan pengumuman Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani selepas mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

DUN Selangor yang mempunyai 56 kerusi dibubarkan dua hari lebih awal berbanding tempoh mandat DUN yang sepatutnya akan berakhir pada 25 Jun.

Kedudukan terkini DUN Selangor menyaksikan PH memiliki 41 kerusi, Perikatan Nasional (PN) tujuh kerusi, BN lima kerusi dan Pejuang tiga kerusi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.