UMNO Sabah Sedia Hantar Jentera PRN Enam Negeri Di Semenanjung

LAHAD DATU, 3 Julai – UMNO Sabah bercadang akan menghantar jentera bagi membantu Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri yang dijangka pada bulan Ogos ini.

Pengarah Jentera Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffery Nor Mohamed berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat dalam masa terdekat.


Katanya, keputusan mengenai jentera UMNO yang dihantar di enam negeri tersebut akan dimuktamadkan pada Selasa ini.

“Saya dimaklumkan 4 Julai ini ada mesyuarat muktamad mengenai jentera UMNO Sabah yang akan dihantar ke PRN di enam negeri di Semenanjung.

“Setakat ini, kita belum dapat lokasi yang tepat di mana UMNO Sabah akan ditempatkan untuk membantu kempen tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media dalam Majlis Rumah Terbuka UMNO Bahagian Lahad Datu, di sini semalam.

Menurutnya, UMNO Sabah tetap komited membantu calon yang bertanding seperti yang dilakukan pada PRN di Melaka dan Johor.

“Kita akan meletakkan jentera bagi memenangkan Barisan Nasional (BN) dan rakan sekutu dalam Kerajaan Perpaduan.

“UMNO Sabah berharap jentera yang dihantar dapat memberi impak dalam membantu kejayaan parti pada PRN di enam buah negeri tersebut,” katanya.

Terdahulu, sebanyak 20 ekor lembu telah dikorbankan dan dagingnya diagihkan kepada 1,200 orang asnaf di daerah Lahad Datu.

Turut bersama dalam majlis tersebut ialah Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul serta kepimpinan bahagian terbabit. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.