Perkhidmatan Bas Maraliner Bermula Di Samarahan Dan Santubong Bulan Ini – Zahid

KUCHING, 3 Julai – Penduduk di bahagian Samarahan dan Santubong akan menikmati perkhidmatan bas henti-henti Maraliner, sebuah anak syarikat Majlis Amanah Rakyat (MARA) bermula bulan ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata projek perintis itu akan menjadi pencetus perubahan dari segi kemudahan awam bagi penduduk setempat di dua kawasan berkenaan.

“Walaupun perkhidmatan bas henti-henti ini tidak memberikan keuntungan kepada syarikat, ia memberikan impak sosial kepada masyarakat terutamanya kawasan yang tidak dilalui oleh bas ekspres dan saya melihat perkara dari segi perancangan jangka panjang,” katanya.

Bercakap dalam sidang media selepas menghadiri mesyuarat penyelarasan bersama kerajaan negeri di sini hari ini, beliau berkata susulan projek perintis itu nanti, perkhidmatan bas Maraliner ini juga akan diperluas lagi supaya dapat dinikmati oleh lebih ramai penduduk.

“Kita melihat dari segi kebolehsampaian untuk penduduk di luar bandar, perkhidmatan bas ini kelak bukan hanya menghubungkan jalan ataupun melalui lebuhraya Pan Borneo, bahkan turut dicadangkan untuk melalui Brunei sehingga Sabah,” katanya.

Ahmad Zahid sbelum itu mempengerusikan mesyuarat penyelarasan itu bersama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, dan mesyuarat berkenaan merupakan sesi susulan kepada mesyuarat yang diadakan di sini 7 Mac lepas.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), perkara yang turut dibincangkan dalam mesyuarat itu termasuklah melaporkan status terkini projek- projek yang telah siap dilaksanakan di Sarawak yang melibatkan beberapa agensi kerajaan negeri.

Antara projek yang berjaya dilaksanakan setakat Jun tahun ini ialah lima projek jalan luar bandar melibatkan peruntukan RM170.2 juta, 14 projek bekalan air luar bandar bernilai RM302.9 juta, serta 294 projek Jalan Perhubungan Desa (JPD) dan Program Ameniti Sosial (PAMS) dengan jumlah diluluskan sebanyak RM52.9 juta.

Untuk tahun depan, KKDW telah memohon sejumlah 319 projek meliputi 96 projek baharu dan 223 projek sambungan bagi Sarawak.

“Jumlah projek ini bertambah 32 peratus berbanding 2023 dengan jumlah keseluruhan peruntukan yang dipohon adalah sebanyak RM859.2 juta,” tambah kenyataan itu. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.