Kerjasama BN-PH: Rakyat Lebih Bijak Menilai Polemik Yang Sengaja Ditimbulkan PN
MARANG, 3 Julai – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman yakin bahawa rakyat lebih bijak untuk menilai polemik yang sengaja ditimbulkan oleh Perikatan Nasional (PN) mengenai kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam membentuk Kerajaan Perpaduan.
Tegasnya, seusai Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu, negara tidak berkerajaan selama lima hari kerana tiada satu pun parti yang berjaya memperoleh majoriti mudah dan Perikatan Nasional (PN) menolak cadangan Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk kerajaan bersama PH.
“Kita semua sedia maklum bahawa selesai sahaja PRU ke-15 baru-baru ini, selama lima hari negara kita tidak mempunyai kerajaan kerana tidak ada mana-mana parti pun yang berjaya memperoleh majoriti mudah.
“Pada awalnya, Yang di-Pertuan Agong telah menitahkan agar dua parti yang memperoleh banyak kerusi menubuhkan kerajaan iaitu PN dan PH namun ianya ditolak mentah-mentah oleh PN.
“Sepanjang lima hari tersebut, kedudukan pelabur di negara kita agak goyah dan keyakinan mereka terhadap negara juga rendah,” katanya kepada UMNO Online.
Jelasnya, dengan menurut titah Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk Kerajaan Perpaduan, UMNO/BN dan PH telah bersetuju untuk bekerjasama dengan meletakkan beberapa syarat utama.
“Dengan titah Tuanku dan setelah pelbagai perbincangan dilakukan, maka bersetujulah UMNO/BN bersama PH dan parti-parti gabungan Sabah serta Sarawak bersama-sama membentuk Kerajaan Perpaduan.
“Kita juga sedia maklum bahawa sebenarnya UMNO/BN bekerjasama dengan PH, bukannya dengan Dap. Sebelum kita bersetuju untuk membentuk kerajaan ini, empat syarat utama telah diletakkan iaitu Islam sebagai agama rasmi, kepentingan orang Melayu mesti dijaga, Raja-Raja Melayu dan bahasa Melayu itu sendiri,” katanya lagi.
Menurut Tengku Zaihan lagi, kerjasama yang terjalin untuk membentuk kerajaan pada ketika ini adalah berbeza ketika Pas bekerjasama dengan Dap secara dasarnya.
“Berbeza ketika Pas bekerjasama satu ketika dahulu dengan Dap. Mereka menyatakan bahawa kerjasama itu antara dasar, bukannya menubuhkan kerajaan.
“Kita bekerjasama dengan PH dan Dap bersama dalam ‘coalition’ tersebut. Sentimen dan persepsi yang dimainkan oleh PN ini sedikit sebanyak menjadi polemik politik tetapi saya yakin rakyat cukup faham akan situasi politik sekarang ini.
“Rakyat amat bijak menilai mana yang baik dan buruk. Marilah semua, kita undi BN kerana sesungguhnya hanya parti ini yang mengamalkan politik khidmat bakti sejak negara ditubuhkan,” katanya lagi.
Keputusan PRU ke-15 menyaksikan BN memperoleh 30 kerusi, PH (82), PN (73), GPS (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi.
BN pada mulanya membuat keputusan untuk menjadi pembangkang, kemudian berkecuali dan akhirnya menyerahkan 30 kerusi untuk pertimbangan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menentukannya seperti mana turut diputuskan oleh GPS dan GRS. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman