‘Differential Treatment’ eBelia, Muhamad Akmal Bidas Syed Saddiq

KUALA LUMPUR, 3 Julai – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh membidas ciapan Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menyatakan bahawa terdapat ‘differential treatment’ kepada para pelajar MARA dan Institut Pendidikan Guru (IPG) dalam menerima bantuan eBelia Rahmah.

Jelasnya, kedua-dua institut pengajian tersebut mempunyai jenis pembiayaan pelajaran yang berbeza dan ianya perlu diterangkan dengan seadilnya.

“Untuk makluman sahabat saya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Elaun MARA itu dalam bentuk pinjaman boleh ubah, maksudnya pelajar masih perlu membayar semula duit yang mereka dapat setiap bulan.

“Elaun IPG itu adalah bantuan yang mereka dapat setiap bulan dan tidak perlu dibayar semula. Jadi, kena terangkan dua situasi berbeza itu.

“Kena berlaku adil juga pada adik-adik mahasiswa yang tidak dapat elaun bulanan seperti IPG. Terima kasih,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Semalam, Presiden Muda tersebut menerusi ciapannya membandingkan elaun pelajar MARA dan juga IPG yang padanya berlaku ‘pilih kasih’ oleh kerajaan kepada pelajar-pelajar ini.

Program eBelia Rahmah adalah inisiatif kerajaan yang diumumkan di bawah Belanjawan 2023 bagi memupuk budaya pembayaran tanpa tunai dalam kalangan belia, selain meringankan beban kewangan golongan berusia 18 hingga 20 tahun dan pelajar insititut pengajian tinggi (IPT) sepenuh masa.

RM200 yang dikreditkan ke akaun e-dompet kira-kira dua juta penerima bermula 26 Jun lalu adalah untuk digunakan bagi pembelian fizikal di premis perniagaan melalui penyedia perkhidmatan e-dompet terlibat, iaitu Boost, Setel dan Touch n Go eWallet. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit