Nilai Aset Kerajaan Persekutuan Melebihi RM1 Trilion Setakat Ini – Ahmad Maslan

JOHOR BAHRU, 2 Julai – Nilai aset kerajaan Persekutuan setakat ini adalah melebihi RM1 trilion, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata angka itu adalah berdasarkan penilaian melibatkan aset tanah dan bangunan kerajaan yang dibuat Jabatan Akauntan Negara dan juga Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) bagi tempoh 10 tahun sejak 2013.

Ahmad berkata nilai aset kerajaan Persekutuan dijangka terus meningkat berikutan ia masih dalam proses pengiraan kerana aset-aset lain termasuk di luar negara belum dinilai.

“Pengiraan nilai aset tersebut melibatkan aset tanah dan bangunan kerajaan, ia tidak termasuk aset lain seperti loji dan jentera.

“Begitu juga aset luar negara yang masih belum dinilai. Kita menjangkakan ia akan terus meningkat dengan pertambahan RM30 bilion tahun ini,” katanya pada sidang media selepas melawat pejabat JPPH Johor, di sini, hari ini.

Menurutnya, proses penilaian sentiasa berjalan bagi mengenal pasti jumlah keseluruhan nilai aset kerajaan Persekutuan yang diharapkan akan melebihi hutang negara yang mencecah RM1.5 trilion.

“Saya harap nilai aset kita lebih banyak daripada nilai hutang kita termasuk liabiliti yang mencecah RM1.5 trilion.

“Bagaimanapun, kita tidak dapat menjangkakan bila proses penilaian ini akan berakhir kerana ia masih disemak. Jadi penilaian harta setakat ini kita hanya boleh buat anggaran,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dilapor sebagai berkata hutang negara termasuk liabiliti telah mencecah sebanyak RM1.5 trilion dan perlu ditangani dengan segera. – BERNAMA



@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.