Melaka Komited Tingkat Capaian Jalur Lebar Di Kawasan Luar Bandar – Fairul Nizam

JASIN, 2 Julai – Kerajaan Melaka komited untuk meningkatkan capaian jalur lebar di kawasan luar bandar termasuk di perkampungan Orang Asli bagi memastikan golongan tersebut tidak terpinggir daripada menikmati kemudahan itu.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Fairul Nizam Roslan berkata pihaknya telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) serta Melaka ICT Holdings (MITCH) untuk mengenal pasti penyelesaian bagi menambah baik capaian jalur lebar di kawasan itu khususnya sekitar Jasin.

“Sememangnya pihak kita ada menerima beberapa aduan mengenai masalah capaian jalur lebar yang rendah dan pihak berkaitan telah membuat kajian mengenai perkara ini seterusnya penyelesaian terbaik sedang giat dilaksana.

“Satu lagi menara telekomunikasi 5G di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Asahan akan dibina selain menara telekomunikasi sedia ada yang baru dibina di Kampung Gapis,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Sinar Zulhijjah Ibadah Korban Bersama Masyarakat Orang Asli Peringkat Negeri di Kampung Orang Asli Gapam Baru, yang dirasmikan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman.

Mengulas lanjut, Fairul Nizam berkata kawasan berkenaan juga mempunyai kepadatan penduduk selain sebuah ladang ternakan ayam yang bakal dibina di bawah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dengan pelaburan hampir RM20 juta.

“Pihak kita percaya usaha yang dilaksanakan ini dapat menyelesaikan masalah capaian telekomunikasi dan meluaskan capaian komuniti sekali gus merapatkan jurang digital di kawasan perkampungan tersebut,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.