UMNO Kinabatangan Sumbang 27 Ekor Sempena Ibadah Korban

KINABATANGAN, 1 Julai – UMNO Bahagian Kinabatangan bersempena Hari Raya Aidiladha menyerahkan 27 ekor lembu untuk diagihkan kepada beberapa buah Pusat Daerah Mengundi dalam kawasan Parlimen berkenaan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kinabatangan, Mohd Kurniawan Naim Bung, berkata sumbangan lembu itu sebahagian daripada tradisi yang dilaksanakan oleh UMNO Bahagian Kinabatangan setiap tahun.

Mohd Kurniawan berkata, lembu-lembu yang disumbangkan akan diserah kepada jawatankuasa masjid atau surau di setiap kawasan yang terpilih untuk proses selanjutnya termasuklah agihan kepada penduduk kampung yang terlibat.

“Di peringkat daerah mengundi kita akan serahkan kepada jawatankuasa masjid atau surau bersama penduduk kampung yang terlibat untuk proses penyembelihan dan agihan” katanya ketika ditemui selepas mewakili Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin bagi menyerahkan sumbangan lembu untuk ibadah korban bagi Zon Kinabatangan dekat sini pada Khamis.

Mohd Kurniawan yang juga Bendahari Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berkata, penyerahan lembu korban itu secara tidak langsung akan dapat memupuk semangat perpaduan dan muafakat dalam kalangan masyarakat.

“Pada masa sama, ibadah korban ini juga akan mendekatkan diri kita dengan Allah dan memberi peluang kepada golongan tidak berkemampuan untuk mendapatkan daging lembu korban terbabit.

“Menerusi ibadah korban juga akan dapat mengeratkan hubungan silaturahim dan semangat bantu membantu dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Sementara itu di pada Jumaat Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan Datuk Jafry Ariffin turut menghadiri majlis ibadah korban bagi daerah mengundi Suan Lamba.

Selain menyertai masyarakat Islam setempat dalam proses penyembelihan dan penyerahan daging-daging Lembu kepada penduduk Jefry juga turut bersama umat Islam setempat menunaikan solat Jumaat di masjid Kampung berkenaan.

Hadir sama di majlis tersebut Ketua Wanita UMNO Bahagian Kinabatangan Hajah Aminah Johan serta jawatankuasa UMNO Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri. –  UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.