PRN: Kolaborasi PH Dan BN Beri Kelebihan Pertahankan Negeri Sembilan
SEREMBAN, 1 Julai – Permuafakatan politik antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), dilihat mampu memberikan kelebihan kepada gabungan itu untuk mempertahankan Negeri Sembilan, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Mengambil kira prestasi kedua-dua parti itu yang berjaya mendominasi kesemua lapan kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan BN menguasai lima dan PH tiga, adalah tidak mustahil kedudukan di peringkat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) turut bakal mencapai keputusan yang sama, sekali gus menjadi negeri tanpa pembangkang.
Pada PRU14, Negeri Sembilan yang memiliki 36 kerusi menyaksikan PH menguasai 20 kerusi (DAP (11), PKR (6), Amanah (3)) manakala BN, 16 kerusi (UMNO (15) dan MIC (1)).
Meskipun terdapat keyakinan yang diluahkan pemimpin Perikatan Nasional (PN) untuk parti yang dianggotai Bersatu, PAS dan Gerakan memenangi negeri itu, namun beberapa penganalisis berpandangan ia sebagai sesuatu yang bukan mudah.
Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM) Mujibu Abd Muis, berkata di atas kertas, kelebihan dilihat lebih memihak kepada PH dan BN untuk mempertahankan kemenangan pada PRN kali ini.
“Gambarannya pada PRN kali ini lebih terbeban kepada PN, kalau kita tengok dalam konteks PRU15, Negeri Sembilan negeri paling selamat untuk BN dan PH, dan satu-satunya negeri yang PN tidak berjaya memenangi sebarang kerusi Parlimen.
“Gabungan PH dan BN ini memperlihatkan kekuatan yang lebih kukuh menerusi beberapa faktor, antaranya prestasi BN pada PRU15 yang dapat merampas semula kerusi Parlimen Tampin dan Kuala Pilah, dan PH juga mempunyai kelebihan dengan kemenangan terutamanya di kawasan bandar,” katanya kepada Bernama.
Mujibu berkata selain itu, ketokohan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun dan bekas Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan, turut memainkan peranan penting dalam memastikan kemenangan kedua-dua parti itu di Negeri Sembilan.
“Tok Mat (Mohamad Hasan) dan Datuk Aminuddin merupakan dua tokoh yang kuat. Kalau kerjasama itu dapat diterjemahkan dengan baik untuk mengekalkan undi sedia ada, maka tiada masalah untuk gabungan itu (PH-BN) terus mempertahankan negeri ini,” katanya.
Bagaimanapun beliau berkata dalam memastikan kemenangan, kedua-dua parti itu perlu mempergiatkan usaha dalam mengekalkan sokongan pengundi bagi mengelakkan undi protes.
Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata agihan kerusi antara PH dan BN perlu dilakukan sebaik mungkin, bagi memastikan kemenangan gabungan berkenaan.
“Politik di Negeri Sembilan agak berbeza, kerana tidak mempunyai pembangkang jika dibandingkan dengan Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Selain itu, calon yang dipilih nanti juga bukan hanya mewakili parti masing-masing, tetapi bergerak sebagai satu gabungan yang dapat meyakinkan pengundi.
“PH dan BN juga perlu memastikan isu dibawa, selaras dengan manifesto yang menampakkan kebersamaan di antara kedua-duanya, apatah lagi ia gabungan yang dibentuk oleh Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Beliau berkata PH dan BN juga perlu memperhebatkan lagi penyampaian dan komunikasi di media sosial, dalam usaha pemasaran politik terutama kepada golongan muda kerana ia bersifat masa nyata, cepat dan mudah, sampai tanpa mengabaikan amalan secara konvensional.
Sementara itu, penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) Dr Azmi Hassan berpandangan, meskipun kelebihan dijangka akan memihak kepada PH-BN, namun kedua-dua parti itu tidak boleh mengambil ringan cabaran daripada pihak lawan.
“Berdasarkan keputusan pada PRU15 lepas, memang pembangkang tidak menang kerusi di sini, tetapi senario politik kini sedikit berubah menerusi beberapa isu dimainkan oleh pihak pembangkang. Jadi perkara itu perlu diambil perhatian oleh PH dan BN sekiranya mahu menang dalam PRN nanti,” katanya.
Negeri Sembilan secara rasminya membubarkan DUN hari ini.
Kelantan terlebih dahulu membubarkan DUN pada 22 Jun, diikuti Selangor 23 Jun manakala Pulau Pinang, Kedah dan Terengganu pada 28 Jun. – BERNAMA