Penjelasan Hala Tuju UMNO Sabah Mantapkan Gerak Kerja Teruskan Perjuangan – Sharif Musa

LAHAD DATU, 1 Julai – Pelaksanaan gerak kerja bagi meneruskan perjuangan UMNO amat penting khususnya dalam suasana politik masa kini.

Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul berkata, selepas selesai taklimat daripada Pengarah Jabatan Pilihan Raya Negeri Sabah, Jeffery Nor Mohamed baru-baru ini, bahagian terbabit terus yakin untuk meneruskan perjuangan.

Katanya, UMNO sememangnya memerlukan suatu gerak kerja mantap bagi memperkasakan parti keramat ini.

UMNO Bahagian Lahad Datu mengucapkan jutaan terima kasih kepada Jeffery Nor yang telah memberi taklimat dan penjelasan hala tuju UMNO Sabah yang sebenar di pejabat UMNO Bahagian Lahad Datu.

“Sememangnya ruang dan peluang ini menjadi inspirasi kepada anggota parti bagi mengenalpasti penambahbaikan yang perlu dilakukan dalam meraih sokongan rakyat kepada UMNO.

“Amat mustahak untuk kita lihat pendekatan UMNO bagi menghadapi pelbagai cabaran masa hadapan

“Maksudnya kita buat pendekatan dari sekarang iaitu dengan baiki parti, pasca PRU, pemilihan dan Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini. Kita perlu bangkit dan kukuhkan kembali parti yang terlalu banyak berjasa kepada negara, bangsa dan rakyat, jadi kita perlu teruskan usaha untuk pastikan parti ini relevan,” katanya kepada UMNO Online.

Terdahulu dalam majlis taklimat baru-baru ini yang disampaikan oleh Jeffery Nor, turut dihadiri Timbalan Ketua UMNO Bahagian Lahad, Datuk Saleha Wahid dan Naib Ketua UMNO bahagian Lahad Datu, Datin Maizatul Akmam Alawi.

Dalam pesanannya, Jeffery yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan menegaskan adalah penting untuk meletakkan parti di atas apa juga keadaan sebab UMNO/Barisan Nasional akan berdepan dengan pilihan raya dan pastinya PRN yang dijangka kurang dari dua tahun dari sekarang akan berlangsung. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit