Lawan Rasuah Perkara Terpuji, Tapi Perlu Siasatan Terperinci – Akmal

KUALA LUMPUR, 1 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berpandangan kenyataan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkenaan ada unsur rasuah oleh Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) perlu disiasat.

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata beberapa perkara perlu dikenalpasti terlebih dahulu sebelum siasatan dilakukan.

“Adakah notis not to land (NTL) telah dikeluarkan ke atas individu yang ditahan atas faktor dokumen tidak lengkap?

“Jika notis NTL itu telah dikeluarkan, adakah ia ditarik balik setelah campur tangan pihak ketiga?

“Dan jika ditarik balik, atas faktor apakah ia ditarik balik? Adakah dari kesilapan pegawai yang mengeluarkan notis NTL sebelum itu?Ataupun secara tiba-tiba dengan campur tangan pihak ketiga menjadikan dokumen individu ditahan itu terus menjadi lengkap?” soal beliau menerusi satu hantaran di Facebook.

Dr Akmal yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin berkata jika segala tuduhan yang dilontarkan oleh menteri kepada pegawai imigresen ini tidak benar beliau memohon agar pegawai imigresen yang terlibat untuk membuat laporan polis.

Jelas beliau ini bagi menjaga nama jabatan imigresen negara dan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap jabatan tersebut.

Beliau dalam pada itu menasihati menteri terbabit untuk mengetahui garis bidang kuasa menteri dan bukan mengkritik sesuka hati.

“…dan sekiranya ada sekalipun unsur-unsur rasuah, menteri seharusnya mempunyai banyak cara dan yang paling berkesan adalah boleh terus berhubung dengan menteri Kementerian Dalam Negeri dan bawa ke dalam mesyuarat Kabinet.

“Bukan masuk dan marah sesuka hati pegawai yang sedang bertugas dan menuduh pegawai tanpa bukti yang kukuh. Mereka juga ada hati dan perasaan yang perlu dijaga. Saya harap persoalan saya tadi dapat dijawab supaya rakyat dapat tahu apakah kisah yang sebenarnya berlaku.

“Kepada menteri yang terlibat, kami bercakap atas fakta, bukan merepek dan buat tuduhan sesuka hati tanpa bukti yang kukuh. Kamu kena ingat, kamu adalah menteri, bukan penjual bak kut teh,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.