Indahnya Islam Beri Keseimbangan Hubungan Dengan Allah Dan Sesama Manusia – Zahid

KUALA LUMPUR, 1 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ibadah korban yang dilaksanakan ini amat berkait rapat dengan konsep Hablum MinAllah dan Hablum MinanNass.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata sembelihan korban yang dilaksanakan umat Islam adalah untuk mendapatkan redha Allah SWT.

“Kemudiannya daging korban yang dikongsikan itu pula untuk kita memupuk kasih sayang serta rasa keprihatinan sesama kita.

“Betapa indahnya Islam yang menekankan keseimbangan di dalam hubungan dengan Allah dan sesama manusia, seimbang mengisi keperluan dunia dan memperbanyakkan bekal menuju akhirat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada hantaran di Facebook ketika hadir ke Pantai Penunjuk, Kemaman, Terengganu untuk bersama di dalam Majlis Korban Perdana dan Jamuan Rakyat sempena Aidiladha.

Bersempana program ini, beliau juga mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Terengganu merangkap Ketua UMNO Bahagian Kemaman, Datuk Seri Ahmad Said dan semua barisan kepimpinan, masyarakat, ahli jawatankuasa masjid dan surau serta penduduk kampung yang terlibat dalam persiapan dan perlaksanaan majlis ini.

Ahmad Zahid juga berharap agar ibadah korban ini diterima oleh Allah SWT sebagai bekalan menuju alam Akhirat. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit