Kemenangan Kes Tuntutan Sulu, Zahid Ucap Tahniah Pertahankan Kedaulatan Malaysia

KUALA LUMPUR, 28 Jun – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada pasukan Malaysia yang diketuai oleh pengerusinya Datuk Seri Azalina Othman Said yang telah bertungkus-lumus memastikan kedaulatan Malaysia terus terpelihara.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian berikutan keputusan Mahkamah Rayuan The Haque di Belanda, semalam yang menolak permohonan Kumpulan Sulu terhadap kerajaan Malaysia.

Tegas Ahmad Zahid, kemenangan yang cukup bermakna dan penting untuk Malaysia.

“Kerajaan Malaysia tidak pernah berhenti dalam usaha untuk melindungi kedaulatan, keselamatan dan kepentingan negara.

“Kes Sulu ini membuktikan bahawa terdapat pencabulan yang nyata terhadap kekebalan kedaulatan Malaysia yang merupakan suatu perkara penting bagi setiap warganegara Malaysia Madani,” katanya dalam hantaran melalui laman Facebooknya, hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Rayuan The Hague di Belanda semalam menolak permohonan kumpulan Sulu untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan award akhir timbang tara sebanyak US$14.9 bilion (RM62.59 bilion) di negara itu.

Award itu telah diberikan oleh penimbang tara Sepanyol Dr Gonzalo Stampa pada 28 Feb 2022 kepada lapan individu yang mengaku sebagai waris Kesultanan Sulu.

Dalam usaha mereka untuk menguatkuasakan award itu, kumpulan Sulu terbabit telah dilaporkan cuba menyita aset Petronas di Luxembourg dan Belanda selain menyasarkan aset diplomatik Malaysia di Perancis (termasuk sebahagian daripada kedutaannya di negara itu). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.