Kemenangan Kes Tuntutan Sulu Suatu Kelegaan Rakyat – Bung Moktar

KOTA KINABALU, 28 Jun – Kemenangan di mahkamah antarabangsa dalam kes tuntutan kumpulan Sulu terhadap Malaysia membuktikan bahawa kerajaan berjaya mempertahan hak, harta serta kedaulatan negara.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kemenangan Malaysia di Mahkmah Rayuan The Hague di Belanda dan Mahkamah Rayuan Paris di Perancis boleh menjadi pengakhir kepada segala usaha pihaktidak bertanggungjawab yang cuba merompak dan menganggu-gugat kedulatan negara ini.

“Ini juga membuktikan dakwaan kumpulan tersebut tidak berasas, gagal dan tidak boleh dilayan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam sebagai mengulas kemenangan Malaysia dalam kes tuntutan kumpulan Sulu terhadap Malaysia.

Mengulas lanjut, Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata kemenangan ini lebih dirasai oleh rakyat Sabah yang selama ini dihantui dengan tuntutan ini sehingga ada pihak mendakwa kes ini dipolitikkan dan akan panas apabila pilihan raya berlaku.

“Kejayaan ini sudah tentu merupakan hasil kerjasama antara pihak terlibat yang berusaha serta bersatu hati dalam mempertahan hak, harta dan kedaulatan Malaysia,” jelas Bung yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Menurut Bung yang juga Pengerusi Barisan Nasional Sabah, semasa persidangan Dewan Rakyat beliau sering kali membangkitkan isu ini dan berharap kerajaan komited untuk menangani isu yang sudah sekian lama berlarutan dan hari ini keseriusan kerajaan menanganinya berakhir dengan kejayaan.

Pada 6 Jun lepas, Malaysia melakar sejarah selepas Mahkamah Rayuan Paris mengekalkan keputusan membenarkan Malaysia mencabar award yang diputuskan oleh penimbang tara antarabangsa Dr Gonzalo Stampa dan memutuskan Stampa telah terkhilaf dalam melaksanakan bidang kuasanya.

Terdahulu, ketika mengumumkan keputusan penting itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia sekali gus menghalang apa-apa usaha pihak yang menuntut untuk menguatkuasakan tuntutan mereka yang tidak sah terhadap Kerajaan Malaysia di Belanda.

Mahkamah Rayuan The Hague di Belanda semalam menolak permohonan kumpulan Sulu untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan award akhir timbang tara sebanyak US$14.9 bilion (RM62.59 bilion) di negara itu.

Award itu telah diberikan oleh Stampa pada 28 Feb 2022 kepada lapan individu yang mengaku sebagai waris Kesultanan Sulu.

Dalam usaha mereka untuk menguatkuasakan award itu, kumpulan Sulu terbabit telah dilaporkan cuba menyita aset Petronas di Luxembourg dan Belanda selain menyasarkan aset diplomatik Malaysia di Perancis (termasuk sebahagian daripada kedutaannya di negara itu).

Bung berharap isu tuntutan Sulu telah menghantui kita sejak sekian lama termasuk peristiwa berdarah yang berlaku di pantai timur Sabah pada 2013 akan berakhir untuk melenyapkan kembimbangan rakyat Sabah selama ini terhadap hal yang tidak berasas dan tidak sah

Bung turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan kerana mengambil tindakan yang tegas untuk berdiri teguh dalam melindungi kedaulatan Malaysia. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.