Bersedia Seolah-olah PRU/PRN Diadakan Esok – Jeffery

LAHAD DATU, 28 Jun – Pengarah Jentera Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffery Noor Mohmed menggesa agar kepimpinan UMNO bahagian dan cawangan empat peringkat di seluruh bahagian di negeri ini bersiap sedia seolah-olah Pilihan Raya Umum ke 16 (PRU-16) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan diadakan esok.

Beliau mematik saranan yang sering diucapkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang berkata, kalau mahu menang buat kerja cara orang mahu menang yang menurut Jeffery ungkapan ini perlu di sambut seluruh kepimpinan dan ahli UMNO sebagai satu ingatan untuk melakar kejayaan.

“Kita jangan anggap PRU atau PRN lama lagi akan berlangsung, jadi kita santai-santai dulu … ini tidak boleh diguna pakai, sekarang ini kita anggap seolah-olah esok pilihan raya” katanya ketika ditemui selepas megadakan sesi taklimat libat urus Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah bersama kepimpinan UMNO bahagian Lahad Datu di sini baru-baru ini.

Hadir sama di majlis tersebut Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul; Timbalan Ketua UMNO Bahagian Lahad, Datuk Saleha Wahid dan Naib Ketua UMNO bahagian Lahad Datu, Datin Maizatul Akmam Alawi.

Menurut Jeffery yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan, adalah penting untuk meletakkan parti di atas apa juga keadaan sebab UMNO/Barisan Nasional akan berdepan dengan pilihan raya dan pastinya PRN yang dijangka kurang dari dua tahun dari sekarang akan berlangsung

Jelas Jeffery lagi, semua pemimpin UMNO dan ahli akar umbi perlu meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan individu atau puak tertentu.

“Dalam satu tahun ini banyak benda yang telah kita lakukan, sekarang ini merupakan selekoh terakhir dimana kita kena gembelingkan semangat dan rapatkan barisan, ketepikan perbedaan selepas pemilihan dalam parti baru baru ini , fokus kita adalah untuk pilihan raya yang bakal kita hadapi tidak lama lagi,” jelas Jeffery.

Tambah Jeffery ahli parti sedia maklum kebekalangan ini UMNO di Sabah berdepan dengan pelbagai cabaran antaranya UMNO sebahagian dari parti yang membentuk kerajaan Perpaduan di peringkat pusat namun di Sabah UMNO dianggap seperti parti pembangkang yang seharusnya memberikan suntikan semangat kepada pemimpin dan ahli bahawa UMNO adalah parti keramat perjuangannya bukan lahir di atas jalanan atau terbentuk atas dasar lompat parti.

Sehubungan itu Jeffery mahu jentera parti perlu diperkemaskan dari sekarang, daftar pengundi di satu kawasan dan daftar ahli UMNO perlu sentiasa dikemaskinikan bagi memastikan segala data yang ada adalah yang diperakui kesahihannya .

“Selain jentera parti diperkemas kini, segala bentuk program mendekati akar umbi perlu diaktifkan, tidak perlu dalam skala yang besar kerana yang penting UMNO sentiasa ada di sisi rakyat dalam saat suka dan duka,” katanya lagi. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit