Wanita UMNO Kongsi Rezeki Agih Sumbangan

KUALA LUMPUR, 27 Jun – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkesempatan berkongsi rezeki bersama rakyat dalam meringankan beban mereka menjalani kehidupan seharian.

Sumbangan yang disampaikan beliau merupakan wang tunai serta kotak Rahmah kepada 300 orang yang dikenal pasti oleh ketua kampung dan ketua cawangan.

“Kadangkala dalam rezeki kita juga ada milik orang lain. Saya telah menyerahkan sumbangan berupa wang tunai dan kotak Rahmah kepada 300 orang penerima yang dikenalpasti memerlukan.

“Terima kasih diucapkan kepada ketua-ketua kampung dan ketua-ketua UMNO cawangan yang telah memberi cadangan nama untuk diraikan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Dalam pada itu, Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong turut menyumbangkan 15 ekor lembu untuk dikorbankan di sekitar kawasan sempena Hari Raya Aidiladha yang akan disambut pada Khamis ini.

“Ibadah korban ialah ibadah sembelihan haiwan ternakan seperti unta, lembu dan kambing yang dilakukan dengan tujuan semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah swt.

“Saban tahun umat islam khususnya di Malaysia menyambut perayaan Aidiladha dengan melaksanakan ibadah korban di qariah masing-masing.

“Saya telah menyerahkan gimik qurban kepada 15 buah kampung. Alhamdulillah, tahun ini sebanyak 15 ekor lembu akan dikorbankan di sekitar parlimen Parit Sulong,” ujar beliau.

Terdahulu, beliau menerusi hantaran berbeza berkongsi kehadirannya ke Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar.

Noraini berkata PIBG merupakan platform terbaik bagi para ibu bapa dan guru berinteraksi serta berkongsi idea dan pendapat tentang kaedah memberikan akses pendidikan terbaik kepada anak-anak.

“Saya memenuhi jemputan untuk merasmikan mesyuarat agung tahunan PIBG, saya turut menyampaikan sijil pelantikan buat barisan Ahli Jawatankuasa PIBG yang baru dipilih.

“Terima kasih kepada Ustaz Mohd Zin, Guru Besar SK Bandar dan pihak PIBG di atas jemputan. Tahniah juga diucapkan kepada ibu bapa yang telah hadir sebagai tanda sokongan terhadap aspek akademik dan kokurikulum anak mereka yang sedang bersekolah.

“Semoga pihak sekolah dan PIBG SK Bandar akan terus menjalankan kerjasama erat bagi memastikan pendidikan anak-anak berada di tahap terbaik,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.