UMNO/BN Pulau Pinang Siap Siaga Hadapi PRN – Musa Sheikh Fadzir

TASEK GELUGOR, 27 Jun – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata UMNO/Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang sudah siap siaga bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diumumkan kelak.

Ini kerana katanya kesiapsagaan serta persediaan jentera parti lebih awal akan memudahkan gerak kerja bagi menghadapi PRN tanpa menunggu di saat-saat akhir.

“Insya-Allah jentera pilihan raya UMNO/BN Pulau Pinang sudah bersedia dan sentiasa berkerja kuat bagi memastikan kemenangan pada PRN ini serta memberikan penerangan tentang isu-isu yang boleh ditangkis dengan kadar segera.

“Kita lupakan sengketa sesama kita, bersatu hati dan Insya-Allah… UMNO/BN boleh menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan atas nama parti ini.

“Pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu UMNO/BN hanya memenangi dua kerusi iaitu DUN Sungai Dua dan Permatang Berangan tapi pada kali ini sudah nampak sokongan dan terus meningkat dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui UMNO Online, di sini.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam menjelaskan ini adalah kali pertama UMNO bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) menubuhkan Kerajaan Perpaduan atas titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

“Ini adalah kali pertama berlaku dalam negara ini apabila dititahkan oleh YDPA dan parti ini patuh dengan arahan Raja-Raja Melayu. Ini adalah salah satu dalam perlembagaan UMNO demi mahukan kestabilan politik dan ekonomi.

“Sekiranya UMNO tidak setuju penubuhan Kerajaan Perpaduan maka negara ini tidak ada kestabilan politik dan ekonomi negara semakin merundum.

“Tak semestinya UMNO menyokong kerajaan ini dan bergabung dengan PH. PH adalah PH… dan sekiranya bertanding nanti UMNO akan menggunakan lambangnya iaitu BN dan PH akan gunakan lambangnya dan itu adalah bezanya,” jelas beliau.

Tegasnya, UMNO hanya bergabung menyokong kerajaan yang dititahkan oleh YDPA yang mahukan perpaduan dan bukannya menyertai PH dan itulah bezanya. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit