RUU Jenayah Siber Cermin Komitmen Kerajaan Melindungi Keselamatan Negara, Kesejahteraan Rakyat
KUALA LUMPUR, 1 Julai – Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber mencerminkan komitmen kerajaan untuk melindungi keselamatan negara, kepentingan awam dan kesejahteraan rakyat.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kemajuan pesat turut membuka ruang kepada eksploitasi dan jenayah siber yang semakin kompleks.

“Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya masing-masing pada 10 September 2025 dan 6 Mei 2026 telah bersetuju dengan dasar-dasar penggubalan RUU Jenayah Siber dan supaya RUU Jenayah Siber 2026 digubal bagi memansuhkan Akta Jenayah Komputer 1997 [Akta 563] untuk memastikan Malaysia memenuhi obligasi di bawah Council of Europe Convention on Cybercrime (Konvensyen Budapest) dan United Nations Convention Against Cybercrime (Konvensyen UN).
“Penggubalan RUU Jenayah Siber 2026 oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri (JPM) ini, menekankan prinsip ‘technology-neutral’ sebagaimana yang diterapkan dalam Konvensyen Budapest dan Konvensyen UN bagi membolehkan pelaksanaannya dapat disesuaikan dengan evolusi teknologi semasa.
“Selain itu, RUU Jenayah Siber 2026 akan dikuatkuasakan bersama-sama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan NACSA, MKN JPM,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Bacaan Kedua RUU Jenayah Siber 2026 di Parlimen, sebentar tadi.
Ahmad Zahid, yang juga Presiden UMNO, berkata penggubalan RUU Jenayah Siber 2026 akan memberi banyak manfaat seperti memperkukuh perundangan dan melindungi kepentingan awam.
“Pertama, ia memperkukuh dan memastikan kerangka perundangan jenayah siber yang mampan dan berdaya tahan bagi menangani jenayah siber yang semakin kompleks. Kedua, menangani jurang landskap perundangan sedia ada di Malaysia bagi menjamin keharmonian undang-undang agar sentiasa kekal relevan, responsif dan sejajar dengan evolusi pesat teknologi digital.
“Ketiga, melindungi kepentingan awam serta menjamin keselamatan rakyat daripada ancaman jenayah siber. Keempat, memperkukuh inovasi dalam mekanisme pencegahan, pengesanan dan penguatkuasaan berhubung dengan ancaman jenayah siber.
“Kelima, memastikan pelaksanaan undang-undang secara adil, inklusif dan berperikemanusiaan merentasi sempadan supaya tindakan undang-undang boleh diambil serta diteruskan terhadap pelaku kesalahan jenayah siber tanpa mengira kewarganegaraannya.
“Keenam, memperluas tanggungjawab kepada pemberi perkhidmatan antaranya Internet Service Provider (ISP), syarikat telekomunikasi (telecommunication companies – telcos) untuk memastikan perkhidmatan yang diberikan tidak disalahgunakan untuk melakukan apa-apa kesalahan jenayah siber,” katanya lagi.
Di samping itu, beliau menegaskan bahawa RUU ini juga akan dapat meningkatkan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap perkhidmatan identiti digital negara.
“Manfaat yang ketujuh, mengiktiraf dan memperuntukkan punca kuasa statutori penubuhan dan tanggungjawab khusus bagi Jawatankuasa Memerangi Jenayah Siber atau disebut JMJS.
“Terakhir, meningkatkan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap perkhidmatan identiti digital negara yang diperkenalkan oleh kerajaan selaras dengan perkembangan teknologi digital masa kini.
“Justeru, penggubalan RUU Jenayah Siber ini adalah penting bagi memastikan undang-undang domestik Malaysia kekal relevan dan efektif dalam memerangi jenayah siber secara tuntas,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau berpandangan bahawa RUU Jenayah Siber ini amat penting untuk memperkukuh keupayaan negara menangani ancaman jenayah siber yang semakin kompleks.
“Penubuhan JMJS di bawah RUU Jenayah Siber 2026 ini merupakan kesinambungan kepada Jawatankuasa Menangani Jenayah Siber yang telah ditubuhkan oleh Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) selaras dengan seksyen 9 Akta Keselamatan Siber 2024 [Akta 854]. Maka, Jawatankuasa Menangani Jenayah Siber akan dimansuhkan setelah tertubuhnya Jawatankuasa Memerangi Jenayah Siber (JMJS).
“Saya percaya RUU Jenayah Siber ini amat penting bagi memperkukuh keupayaan negara menangani ancaman jenayah siber yang semakin kompleks seiring dengan perkembangan teknologi digital.
“Ia digubal untuk menutup jurang dalam undang-undang sedia ada, memperkukuh aspek pencegahan, pengesanan dan penguatkuasaan, serta memastikan sistem perundangan negara kekal relevan dengan cabaran siber semasa,” katanya lagi. – UMNO Online
