Tuntutan Sulu : Malaysia Peroleh Kemenangan Penting

KUALA LUMPUR, 27 Jun – Malaysia sekali lagi memperoleh kemenangan bagi kes Sulu apabila keputusan Mahkamah Rayuan The Hague memihak kepada negara dengan dengan menolak untuk mengiktiraf Final Award yang dikeluarkan melalui proses timbang tara tidak sah dan disalahgunakan oleh pihak mendakwa sebagai waris kesultanan Sulu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan tersebut sekali gus menghalang apa-apa usaha oleh pihak yang menuntut untuk menguatkuasakan tuntutan tidak sah mereka terhadap kerajaan Malaysia di Belanda.

Menurut beliau, keputusan dari Mahkamah Rayuan The Hague adalah satu kemenangan penting kepada kerajaan rentetan daripada keputusan Mahkamah Rayuan Paris pada 6 Jun.

“Kerajaan Malaysia yakin bahawa dengan keputusan ini adalah semakin hampir untuk membatalkan sepenuhnya Final Award yang tidak sah dan disalahgunakan oleh Pihak yang Menuntut yang berjumlah hampir USD15 bilion dikeluarkan oleh Dr. Gonzalo Stampa dan sekali gus menjadikan tuntutan tersebut hanyalah sebagai sebahagian daripada sejarah.

“Malaysia percaya bahawa keputusan Mahkamah Rayuan The Hague pada hari ini, bersama-sama dengan keputusan Mahkamah Rayuan Paris baru-baru ini akan menamatkan usaha sia-sia pihak yang menuntut untuk menguatkuasakan Final Award di negara-negara lain,” katanya di dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Mahkamah Rayuan Perancis mengekalkan keputusan menolak penguatkuasaan ‘Partial Award’ dari kumpulan yang mendakwa sebagai waris kepada kesultanan Sulu.

Anwar berkata, kes Sulu membuktikan bahawa terdapat pencabulan yang nyata terhadap kekebalan kedaulatan Malaysia yang merupakan suatu perkara penting bagi setiap warganegara.

Walau bagaimanapun, jelasnya, kerajaan Malaysia tidak pernah berhenti dalam usaha untuk melindungi kedaulatan, keselamatan negara dan kepentingan negara.

“Kerajaan Malaysia akan meneruskan usaha melalui apa-apa jua cara bagi menentang eksploitasi dan penyalahgunaan sistem timbang tara antarabangsa termasuk mengambil sebarang tindakan yang perlu bagi mendapatkan kembali segala kos perundangan dari sumber kewangan negara yang terpaksa dibelanjakan dalam menangani tuntutan ini,” katanya.

Sementara itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Sekretariat Khas yang juga Menteri Undang-Undang & Reformasi Institusi Datuk Seri Azalina Othman; Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir; Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Penghargaan turut diberikan kepada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan semua kementerian dan agensi berkaitan, termasuk peguam antarabangsa serta semua pihak yang terlibat dalam usaha ini. Utusan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.