PRN: Semua Parti Ada Keyakinan, ‘BN Nismilan’ Sedia Masuk Gelanggang – Jalaluddin
SEREMBAN, 27 Jun – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias percaya semua parti yang menyertai mana-mana pilihan raya berhasrat untuk mencapai kemenangan.
Justeru bagi beliau keyakinan pimpinan Perikatan Nasional (PN) untuk mengambil alih negeri berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti adalah perkara biasa dan ianya adalah hasrat semua parti yang bertanding.
“Kenyataan PN yang mengatakan mereka begitu yakin untuk ambil alih kerajaan Negeri Sembilan ini… ya… mereka boleh menyatakan itu dan ini malah sebagai parti pembangkang mereka tentunya ada keyakinan dan ini adalah antara yang wajib mereka sebut… kalau tidak jangan menyertai pilihan raya.
“Namun apa pun asas kepada keyakinan itu mesti ada. Apa asas mereka dan kalau mereka nak katakan BN gagal di Negeri Sembilan, kita sudah buktikan waktu BN jadi kerajaan negeri. Banyak perkara yang kita lakukan dalam soal pembangunan, pembelaan kepada rakyat, dalam soal perpaduan antara kaum.
“Kemudian kalau mereka kata PH juga gagal kendalikan kerajaan negeri sepanjang tempoh lima tahun sejak PRU ke-14 yang lalu, mereka juga sudah melakukan beberapa pendekatan yang berkaitan dengan pembelaan kepada rakyat, pembangunan negeri dan sebagainya,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau mengadakan majlis santai bersama media Negeri Sembilan, di sini hari ini.
Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jempol seterusnya percaya antara isu yang akan dimanipulasi pada PRN nanti adalah berkaitan kerjasama baharu yang dilaksanakan parti hari ini.
“Antara yang dijadikan isu sekarang adalah penerimaan masyarakat Melayu terhadap Dap dan ini yang mereka mainkan. Saya sudah jelaskan tentang landskap politik baharu ini kerana jangan ianya dijadikan sentimen perkauman, jangan jadikan sentimen agama sebagai modal untuk memenangi hati rakyat.
“Rakyat sekarang sudah boleh berfikir… yang penting kepada kita adalah pembelaan kepada masyarakat serta pelbagai kaum dan bangsa . Kerana itu saya yakin apa yang dibawa oleh mereka untuk memenangi PRN ini hanya berasaskan sentimen,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama beliau turut memaklumkan bahawa BN Negeri Sembilan akan menjelaskan kepada masyarakat apakah tawaran yang akan dilaksanakan nanti untuk tempoh lima tahun akan datang selain mengekalkan apa yang telah dilaksanakan hari ini.
“Kita akan jelaskan kepada pengundi apakah tawaran-tawaran baharu yang bakal kita tawarkan kepada pengundi kita di semua peringkat umur. Ini adalah tawaran serta perkara yang bakal kita lakukan untuk tempoh lima tahun akan datang di samping mengekalkan apa yang telah dilakukan hari ini.
“Selain daripada apa yang kita tawarkan itu, yang penting adalah soal kestabilan dan kemakmuran negeri selaras dengan apa yang ada di peringkat pusat dan ini memudahkan pentadbiran kerajaan untuk melaksanakan apa yang kita rancang serta tawarkan untuk tempoh lima tahun akan datang.
“Saya yakin apabila tiba waktunya, rakyat negeri ini tidak mampu untuk menolak tawaran-tawaran ini dan juga perancangan untuk tempoh lima tahun akan datang,” tambahnya lagi. – UMNO Online