Jangan Terpedaya Manipulasi Pihak Lawan, UMNO Sentiasa Jaga Kepentingan Rakyat
KUALA LUMPUR, 4 Julai – Kenyataan tidak bertanggungjawab oleh pemimpin lawan bukan sahaja menjejaskan kestabilan politik dan ekonomi negara malah hingga tahap melontarkan segala tohmahan dan fitnah kepada UMNO.
Menurut Ketua UMNO Bahagian Sik, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim, pelbagai isu dimanipulasi pembangkang dengan memburukkan UMNO dan kini rakyat semakin sedar hakikatnya UMNO terbukti berjaya membela dan menjaga kepentingan rakyat.
“UMNO memang memberi khidmat terbaik dan berjaya tadbir negara pada rakyat dan itu sudah pun kita buktikan sebelum ini. Namun ada isu-isu seperti fitnah menyebabkan kita ditolak dan rakyat sudah mula sedar akan perkara itu.
“Walaupun hakikatnya pihak pembangkang menggunakan seribu satu alasan dan fatwa untuk menghalalkan apa sahaja agar pengundi bersama mereka.
“Sistem politik boleh berubah pada bila-bila masa dan rakyat yang akan memilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN). Kita perlu matang mentafsirkan bahawa ini hanya gabungan politik untuk membentuk kerajaan,” katanya kepada UMNO Online, di sini.
Seterusnya ulas Muhamad Khizri lagi, timbul persoalan mengapa apabila UMNO bersama dengan lain-lain parti menubuhkan Kerajaan Perpaduan, Pas bertindak memanipulasi kerjasama tersebut.
Sedangkan ujarnya, Pas juga pernah bergandingan dengan beberapa parti di dalam Pakatan Rakyat dan terbaharu di dalam Perikatan Nasional (PN).
Tambahnya lagi, apa yang penting adalah semangat setia kawan antara rakan parti sama ada ketika berkuasa ataupun tidak.
“Apabila pilihan raya (pilihan raya umum) 2018, Gerakan meninggalkan Barisan Nasional (BN) kerana mencari tapak baharu kerana hilang kuasa. Inilah Gerakan mencari tempat yang menguntungkan mereka dan cukup bagus Gerakan lari dari BN.
“Hilang erti setia kawan dan bergabung dengan PN dan satu hari tak mustahil PN terkubur dan Gerakan akan lari juga dan inilah Gerakan,” ujarnya.
Dalam masa yang sama kata beliau ini adalah kali pertama UMNO akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan satu gabungan yang baharu.
“UMNO tak pernah bergabung selama ini dan ini adalah kali pertama. Saya akui bahawa ada sedikit ahli parti yang belum terima tapi perkara ini telah diatasi satu persatu dan mutakhirnya pembahagian kerusi.
“Semua ahli parti mesti berkerja kuat bagi memastikan kemenangan pada PRN dan merampas kembali kerajaan negeri,” katanya lagi. – UMNO Online