Tolak Kenyataan Provokatif, Kestabilan Adalah Keutamaan Berbanding Agenda Peribadi

KUALA LUMPUR, 26 Jun – Exco Pemuda UMNO Malaysia, Shah Zanuriman Nuar Paras Khan menzahirkan rasa kecewa dengan kenyataan bekas setiausaha publisiti Dap, Tony Pua, baru-baru ini yang dianggap bersifat provokatif dan berniat untuk memburukkan kerajaan perpaduan di mata rakyat.

Katanya, walau apa pun niat Tony Pua ketika membuat kenyataan tersebut, perlu ditegaskan di sini yang kestabilan negara adalah keutamaan kepada yang memegang tampuk kuasa.

“Dengan kestabilan, negara akan makmur dan dapat menghadapi cabaran-cabaran dengan lebih baik kerana kestabilan negara hanya dapat di capai dengan kerajaan yang kuat dan stabil,” katanya dalam kenyataan kepada UMNO Online, hari ini.

Tegas Shah Zanuriman yang juga Setiausaha Pemuda UMNO Selangor, tindakan Tony Pua membuat kenyataan sebegitu rupa tidak membawa sebarang kebaikan kepada Kerajaan Perpaduan mahupun negara.

“Malah ianya tidak memberikan sebarang kebaikan kepada PH mahupun BN lebih-lebih lagi menjelang PRN enam buah negeri tidak lama lagi.”

Sehubungan itu beliau menasihatkan Tony Pua agar jangan cuba untuk merosakkan kestabilan yang amat diperlukan oleh rakyat hari ini atas agenda peribadi.

“Jadilah insan yang berjiwa besar dan mendahulukan negara serta kepentingan rakyat negara yang kita cintai ini.

“Belajarlah dari Barisan Nasional dan UMNO yang sentiasa memikirkan kepentingan rakyat tak kira samada kami sebagai pembangkang mahupun kerajaan,” katanya lagi.

Terdahulu Tony Pua membuat ucapan pada majlis makan malam kutipan dana Dap pada Jumaat lalu, dilapor berkata beliau berharap PH dapat membentuk kerajaan sendiri tanpa membabitkan UMNO dan BN pada PRU akan datang. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.