Rakyat Makin Bijak Menilai Sisi Berbeza Pas, PN – Lokman

KUALA LUMPUR, 26 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam menyifatkan rakyat semakin bijak dalam memahami kaedah Pas untuk memperoleh undi.

Katanya, Pas kini membawa sisi berbeza terutama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu berbanding pendirian mereka dahulunya yang sinonim dengan perjuangan Islam.

“Hari ini orang dah boleh buka mata, orang yang dulu anggap Pas ini parti yang berpegang pada Islam hari ini sudah nampak dah.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perdana Jentera Kerajaan Perpaduan di Kuala Krai, baru-baru ini.

Dalam pada itu Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia itu juga turut menempelak slogan ‘bersih dan stabil’ yang digunakan Perikatan Nasional (PN) pada PRU15.

Menurut beliau ianya tidak sepadan dengan strategi politik yang dilakukan mereka bahkan lagi memburukkan keadaan segelintir daripada pemimpin mereka juga terpalit dengan kes mahkamah.

“Anda rasa semua orang tak boleh fikir benda ni? Orang muda tak boleh fikir benda? Kalau dulu mereka boleh cakap mereka ini bersih, stabil.

“Hari ini memang betul, semua dah tahu memang mereka bersih tapi ‘sapu bersih’… stabil mestilah stabil, bila dia sapu bersih duit dia banyak, memanglah ada duit dia stabil.

“Hari ini orang dah mula kenal, kalau dulu dia kata Barisan Nasional (BN) kluster mahkamah hari ini mereka pun dah jadi kluster,” ujar beliau.

Sementara itu, Lokman turut mengajak rakyat di negeri ini untuk memberi peluang kepada BN untuk mentadbir Kelantan kerana banyak agenda pembangunan akan dilakukan bagi manfaat rakyat.

Katanya komitmen itu dapat dilihat selama BN menjadi pembangkang di negeri ini yang sentiasa berterusan membantu rakyat.

Jelas beliau ini berbeza dengan cara PN yang hanya memberikan alasan meskipun membabitkan kebajikan kepada rakyat.

“Saya hendak beritahu di mana letaknya Islam kalau negeri ini setiap bulan hendak memerintah pun mengharapkan dana daripada kerajaan Pusat? Bila rakyat ada masalah mereka lari.

“Bila ditanya pada Timbalan Ketua Pemuda PN, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad tentang masalah ibu tunggal, orang-orang orang kurang upaya, asnaf jawapannya cukup mudah dia kata kita tidak berjaya membentuk kerajaan disebabkan itu tidak ada duit jadi tidak boleh membantu.

“Selama ini BN jadi pembangkang berpuluh tahun di Kelantan, bila rakyat datang kita tetap membantu, pernah kita kata tidak perintah tak boleh bantu, ada BN cakap macam tu?

“Kita sudah berpuluh tahun bagi peluang kepada kerajaan Pas memerintah negeri, Presiden UMNO cuma minta satu penggal bagi BN peluang hanya satu penggal kita akan selesaikan masalah air, kemudian pembersihan bukankah ianya adalah tuntutan Islam?” soal beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.