Mohd Rafi Hargai Bantuan Kerajaan, Peruntukan 1,000 Tangki Biru Legakan Warga Labuan

LABUAN, 26 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan merakamkan penghargaan kepada keprihatinan kerajaan dalam usaha membantu rakyat di sini yang selama ini berdepan masalah air.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan berkata, permasalahan rakyat Labuan berkenaan masalah air sangat kritikal di pulau ini, maka sebulan yang lalu beliau mengangkat permasalahan tersebut dengan mengajukan kepada kerajaan.

“Alhamdulillah dan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang telah meluluskan peruntukan pembelian 1,000 tangki biru melalui YAB Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia baru-baru ini.

“Saya selaku ketua UMNO Labuan telah bertemu YAB TPM satu bulan lepas untuk mengangkat permasalahan ini. Syukur alhamdulillah demi meringankan beban rakyat yang tidak mempunyai tangki biru, Datuk Seri Zahid Hamidi telah bersetuju untuk memberi peruntukan pembelian 1,000 tangki biru ke Labuan,” katanya.

Sehubungan itu, semalam beliau bersama rombongan UMNO telah turun padang untuk mengagihkan beberapa tangki biru berkaitan kepada golongan asnaf di Kampung Pohon Batu dan Lubuk Temiang, di sini.

“Insya-Allah bila 1,000 tangki ini sampai, dapatlah membantu 1,000 keluarga yang berhadapan ketiadaan air yang sudah berlarutan di Labuan ini.”

Dalam masa yang sama, Mohd Rafi turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang turut prihatin dengan isu terbabit.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan terutama sekali YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim dan YAB Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang prihatin kepada rakyat Labuan dengan pemberian 1,000 tangki ini.”

Terdahulu, Mohd Rafi telah memohon kepada Kerajaan Pusat untuk melihat secara serius permasalahan air di pulau ini yang sudah berlarutan sejak sekian lama.

Sebelum ini, sebagai membantu rakyat untuk jangka masa pendek, beliau telah mengarahkan Pergerakan Pemuda UMNO Labuan untuk menghantar air ke kampung-kampung bagi memastikan warga Labuan di kawasan terjejas mempunyai air untuk keperluan bagi penyediaan makanan, minuman dan sebagainya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.