HAWA Desak Kerajaan Kaji Semula Cadangan Pemansuhan Perlembagaan Babitkan Kanak-kanak Terbuang

KUALA LUMPUR, 26 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil mendesak kerajaan untuk mengkaji semula cadangan memansuhkan peruntukan dalam pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung kewarganegaraan bagi kedudukan kanak-kanak terpinggir atau terbuang.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga UMNO Malaysia (HAWA) meluahkan kebimbangan kerana sekiranya ia diteruskan ianya akan memberikan implikasi yang lebih mudarat kepada perkembangan kanak-kanak.

“Saya telah terbaca beberapa kenyataan yang dibuat oleh pemegang-pemegang taruh yang telah berbincang dengan kerajaan beberapa hari lepas bahawa kerajaan berkemungkinan mencadangkan pemansuhan peruntukan Seksyen 1(e) dalam Jadual Kedua, Bahagian II Perlembangaan Persekutuan berkenaan Perkara 14(1)(b) yang menyatakan “tiap-tiap orang yang lahir di Persekutuan dan pada masa dia lahir tidak menjadi warganegara mana-mana negara selain menurut kuasa perenggan ini”.

“Peruntukan ini bukan sahaja memastikan bahawa kumpulan kanak-kanak ini dapat akses kepada hak asasi termasuk penjagaan kesihatan, pendidikan dan tempat tinggal tetapi peruntukan ini juga adalah satu bentuk perlindungan kepada kanak-kanak yang tidak bersalah dan tidak boleh dipersalahkan atas keadaan yang menimpa mereka,” katanya.

Jelas beliau lagi jika kumpulan kanak-kanak terpinggir atau terbuang ini tidak dibenarkan hak kewarganegaraan, implikasi seperti penafian hak asasi manusia ke atas mereka akan berlaku.

Katanya lagi, impak lainnya masalah pekerjaan dan penjanaan pendapatan, masalah sosial yang boleh menjejaskan kesejahteraan hidup masyarakat yang timbul dari kekecewaan serta persekitaraan kanak-kanak ini semasa membesar.

Tambah Shahrizat lagi pengalaman sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah mengajar beliau bahawa menghapuskan perlindungan yang sedia ada terhadap kanak-kanak yang terpinggir dan terbuang ini akan mewujudkan pelbagai keperluan baharu.

“Pada masa yang sama menggandakan lagi cabaran asas yang dihadapi pihak bertanggungjawab untuk mengurangkan jurang ketidakadilan dalam kelas masyarakat. Dalam Islam, kita percaya anak dikurniakan Allah SWT sebagai amanah yang wajib dijaga.

“Apabila ibu bapa tidak dapat menjalankan amanah itu, maka negara ini berkewajipan untuk memikul tanggungjawab terhadap anak tersebut. Kewajipan ini dimeterai dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) berkenaan hak kanak-kanak, yang mana Malaysia salah satu negara yang telah menandatanganinya.

“Letakkanlah kemaslahatan dan kesejahteraan kanak kanak ini sebagai keutamaan dalam mencadangkan pindaan perlembagaan berkenaan kewarganegaraan yang sedang diusahakan kerana siapa pun kanak-kanak itu, mereka adalah aset masa depan negara,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.