Kerajaan Perpaduan Bergerak Ke Hadapan Demi Kestabilan Politik Negara – SUA

KUALA LUMPUR, 25 Jun – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki meluahkan penghargaan atas komitmen pemimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk fokus kepada agenda membantu rakyat tanpa toleh ke belakang.

Menurut beliau, perkara tersebut dinyatakan Perdana Menteri pada pertemuan yang diadakan semalam.

“Dalam pertemuan dengan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia, semua setuju untuk tidak lagi mengungkit-ungkit perkara silam.

“Bergerak ke hadapan demi kestabilan politik negara dan memberikan fokus kepada usaha mensejahterakan rakyat,” katanya.

Dr Asyraf yang juga Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan dalam pada itu berkata Setiausaha Agung Dap, Anthony Loke turut sama meluahkan tekad untuk mempertahankan kerajaan dan segala perjanjian yang telah dimeterai.

“Anthony juga menyatakan komitmen Dap untuk terus pertahan Kerajaan Perpaduan dengan segala dasar yang telah dipersetujui dan disepakati ketika membentuk Kerajaan Perpaduan sebagaimana Titah Tuanku Agong.

“Ini termasuklah dua perjanjian yang ditanda-tangani yang mana Dap dan seluruh 19 parti-parti politik sepakat untuk menjunjung Perlembagaan Persekutuan Berhubung Kedudukan Islam Agama Persekutuan Kepentingan Melayu-Bumiputera, Kedudukan Institus Raja-raja Melayu dan Bahasa Melayu.

“Selagi semua prinsip-prinsip ini dipatuhi dan dihormati oleh semua pihak, UMNO juga akan terus mendokong Kerajaan Perpaduan Malaysia ini demi rakyat dan negara tercinta,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.