Gelombang Biru Banjiri Dataran Alor Limbat, Demam PRN Mula Dirasai

MARANG, 23 Jun – Gelombang Biru 2.0 membanjiri Dataran Alor Limbat, semalam sekaligus menandakan bahawa bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) di Terengganu telah bermula.

Bermula seawal jam 9.30 malam, majlis ini dihadiri oleh para pemimpin setempat dan juga negeri angkat yang bakal membantu proses berkempen para jentera.

Majlis Gelombang Biru 2.0 ini mempunyai dua elemen iaitu Ceramah Perdana yang disampaikan oleh dua orang penceramah iaitu Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan penceramah bebas, Zuliadin Abdullah serta pelancaran jentera Barisan Nasional (BN) peringkat negeri Terengganu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said turut mengingatkan para hadirin dan juga jentera untuk bekerja keras bagi membolehkan negeri tersebut kembali ke genggaman UMNO/BN.

Para hadirin yang hadir turut membawa nada dan berkongsi semangat sama terutamanya untuk menang pada PRN ini.

Terengganu antara tiga negeri di bawah Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan PRN tahun ini iaitu Kelantan, yang akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 22 Jun, Kedah (28 Jun) manakala Terengganu masih berteki-teki mengenai tarikh sebenar pembubaran DUN.

Kedudukan terkini kerusi DUN Terengganu menyaksikan Pas memiliki 22 kerusi manakala UMNO/BN sepuluh kerusi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.