PRN Kedah: ‘Mood’ UMNO Kubang Pasu Terus Positif, Sumbang Kemenangan Kepada BN

KUBANG PASU, 22 Jun – Jalinan serta kerjasama utuh di peringkat akar umbi merupakan ramuan yang cukup bermakna dalam usaha Barisan Nasional (BN) Kubang Pasu berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah dalam masa terdekat termasuklah berdepan pelbagai cabaran khususnya pelbagai isu yang akan ditimbulkan oleh pihak tertentu dalam usaha meracuni pemikiran jentera setempat.

Justeru Ketua UMNO Kubang Pasu, Datuk Aminuddin Omar percaya  dengan kehadiran Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid ke bahagian berkenaan sedikit sebanyak bukan sahaja menyuntik semangat malah akan turut memberi keyakinan kepada akar umbi untuk berdepan PRN nanti.

Paling penting tambah beliau penjelasan berkenaan isu-isu semasa kepada seluruh barisan jentera setempat yang akan melaksanakan pelbagai tanggungjawab masing-masing apabila gelanggang PRN dibuka secara rasmi kelak.

“Alhamdulillah hari ini (Rabu) kami menerima kedatangan Datuk Seri Mahdzir Khalid dalam kunjungannya ke bahagian Kubang Pasu untuk melihat kesiapsiagaan kita selain penjelasan terkini beberapa perkara serta isu-isu yang dibangkitkan oelh pihak lawan.

“Sepertimana yang saya tekankan tadi, tentunya paling utama jentera kita tidak termakan dengan dakyah-dakyah daripada pihak luar yang cuba mengelirukan jentera-jentera kita dengan pelbagai andaian dan sebagainya. Kedatangan pimpinan atas tentunya meyakinkan kami untuk terus bergerak dalam usaha membantu kemenangan parti nanti, insya Allah,” katanya kepada UMNO-Online, di sini.

Aminuddin seterusnya menambah kesiapsiagaan BN Kubang Pasu khususnya berada dalam ‘mood’ yang cukup baik dan insya-Allah akan dilipatgandakan apabila gendang PRN dibunyikan dan berharap jentera pelbagai peringkat dapat melaksanakan tanggungjawab masing-masing sebaiknya.

“Pelbagai pesediaan telah pun diatur… pelbagai penerangan pula turut diberikan kepada jentera-jentera kita dan hari ini Datuk Seri Mahdzir Khalid sendiri turun padang bersama-sama dengan kita dan ini tentunya melonjakkan lagi semangat jentera kita untuk bergerak. Insya-Allah kita akan terus melangkah dengan penuh keyakinan,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.