MARA Terima Bas Elektrik Pertama Daripada HINO Motors

KUALA LUMPUR, 22 Jun 2023 – Majlis Amanah Rakyat (MARA) hari ini menerima dua buah bas elektrik pertama beroperasi di dunia keluaran HINO Motors.

Bas ini akan menjalani ujian keberkesanan di laluan terpilih Pulau Langkawi bagi tempoh dua tahun sekaligus menyokong Matlamat Pengangkutan Mampan (SDG) Malaysia.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, inisiatif projek perintis ini bukan sahaja menggalakkan pengangkutan mampan tetapi juga mengurangkan pelepasan karbon di Pulau itu.

Inisiatif ini juga merupakan kesinambungan dan komitmen kedua-dua pihak selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada bulan Mac tahun lalu.

Poncho ZEV dijadual akan beroperasi bermula September tahun ini bagi menguji kesesuaian cuaca dan keadaan jalan raya di Malaysia.

Bas yang boleh memuatkan 11 tempat duduk yang boleh menampung sehingga 32 penumpang itu merupakan bas mesra pengguna kerana saiznya yang kecil dan rendah itu memudahkan untuk penumpang masuk dan keluar dari bas.

Bas yang dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan serta sistem pendorong sifar pelepasan itu, akan mengurangkan pelepasan karbon dengan ketara, meningkatkan kualiti udara, dan menyumbang kepada persekitaran yang lebih bersih dan hijau.

Pada hari yang sama, MARA juga menganjurkan Program MARA Brew’ 23 bagi memperkenal serta mempromosikan usahawan kopi yang berada di bawah industri makanan dan minuman iaitu salah satu industri utama sedang dibangunkan oleh agensi itu.

Asyraf berkata, program ini akan dijadikan platform bagi menarik lebih ramai usahawan bumiputera terutamanya belia untuk menceburi perniagaan yang mempunyai ramai penggemar ini.

Tambah beliau, hasrat itu sejajar dengan trend dan permintaan kebanyakan warga kota masa kini yang menjadikan minuman berkenaan sebagai sebahagian daripada gaya hidup. Kita perlu mengambil trend itu sebagai peluang yang boleh memberi impak kepada ekonomi negara termasuk membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan.

Seramai 10 vendor kopi turut menyertai program yang diadakan selama 4 hari bermula hari ini hingga 25 Jun itu. Pengunjung pengunjung yang hadir boleh mengikuti pelbagai aktiviti antaranya, Bengkel Kopi, Diskusi Kopi, Pertandinag Latte Art Throw Down dan pelbagai aktiviti lain.

Program kali ini juga turut menyaksikan pertukaran MoU di antara Callabio Manufacturing Berhad bersama 4 syarikat daripada Malaysia, Indonesia dan Vietnam. MoU ini adalah bagi mengawal kualiti, harga, promosi dan pemasaran produk serta Kawasan pengagihan produk kopi.

Callabio Manufacturing Berhad merupakan usahawan di bawah Program Gate to Global MARA. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.