Kembalikan Maruah UMNO Dengan Terus Berjuang Perkukuh Parti – Bung Moktar

KOTA KINABALU, 22 Jun – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yakin kepimpinan baharu UMNO Bahagian Beluran mampu memulihkan imej serta maruah parti khususnya di bahagian itu untuk untuk bangkit dan terus berjuang memperkasakan parti.

Katanya, Bahagian Beluran sebelum ini merupakan wilayah UMNO namun tercalar atas sikap pemimpin yang lebih mengutamakan kepentingan peribadi daripada kepentingan parti apabila melakukan lompatan menyertai parti lain.

“Kita hormati keputusan mereka, walau ianya bukan keputusan akar umbi. Biar pelbagai ujian mendatang, semangat perjuangan kita takkan pudar. Membujur lalu melintang patah, patah paruh bertongkat dagu namun daki tetap didaki bersama,” katanya selepas menerima kunjungan hormat kepimpinan baharu UMNO bahagian Beluran di kediaman beliau di Luyang kemarin.

Kunjungan yang diketuai oleh Ketua UMNO Bahagian Beluran yang baharu Jumain Ratib, Timbalan Ketua Bahagian Benedict Asmat, dan Naib Ketua Yussof Latif Mustapha.

UMNO Bahagian Beluran baru sahaja selesai mengadakan pemilihan jawatankuasa UMNO bahagian minggu lalu setelah ditangguhkan disebabkan beberapa masalah teknikal.

Sambil mengucapkan tahniah kepada mereka yang terpilih menganggotai jawatankuasa baharu UMNO Bahagian Beluran bagi sesi 2023-2026, Bung yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT) turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kepimpinan UMNO sebelum ini yang diketuai bekas Ketua Bahagian Julie Sabran atas khidmat bakti yang dicurahkan selepas UMNO Sabah berhadapan dengan cabaran.

“Adat pertandingan yang menang tidak menang semua, begitu juga yang kalah bukannya kalah semua, yang pasti selepas pemilihan parti kembalilah bersatu atas konsep perjuangan demi menjaga institusi agar terus cemerlang bagi memberikan khidmat terbaik untuk rakyat dan ahli,” katanya.

Menurut Bung parti keramat ini memerlukan nafas dan semangat baharu bagi mengembalikan perjuangan yang ampuh.

Justeru Bung berharap UMNO Bahagian Beluran akan dapat berkerja dalam satu pasukan yang mantap, menyusun gerak kerja mendekati ahli dan rakyat di akar umbi bagi memastikan UMNO tetap menjadi pilihan serta mengembalikan kawasan yang pernah di wakili UMNO itu ke tangan UMNO khususnya dalam menghadapi pilihan raya akan datang. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.