Demi Kepentingan Politik, PPBM Dan Pas Saling Memperkuda Satu Sama Lain – Lokman

KUALA LUMPUR, 22 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam menyifatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) memperkudakan Pas memandangkan parti itu sendiri tidak mempunyai jentera.

Menurut beliau, Pas yang sudah diketahui mempunyai kekuatan jentera pula mengharapkan PPBM melibatkan dana.

“Pas ini ada kekuatan jentera malah boleh diperkatakan Pas ini diperkudakan oleh PPBM kerana PPBM tidak ada jentera.

“…yang PPBM ada adalah untuk merebut peluang kekayaan zaman Jana Wibawa dan kekayaan yang dikumpulkan membolehkan untuk membayar jentera-jentera Pas.

“Jadi mereka seolah-olah macam ada hak eksklusif untuk memperkudakan jentera-jentera Pas selagi mana pemimpin Pas ini masih lagi meletakkan hal dunia kebendaan mengatasi perkara akhirat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi siaran langsung di laman Facebooknya, malam tadi.

Mengulas lanjut Lokman yang juga Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia berkata Pas pada masa kini sudah menyimpang daripada perjuangan asal mereka.

“Kalau kita lihat perjuangan mereka dahulu lebih kepada dakwah, Islam tapi hari ini semua yang menjadi keutamaan Pas lebih kepada soal dunia iaitu dana pilihan raya, jawatan dan sebagainya.

“Jadi saya haraplah pemimpin Pas mungkin suatu hari nanti sedar bahawa mereka perlu kembali kepada asal,” ujarnya.

Lokman pada masa sama tidak terkejut sekiranya Pas pernah membuat rundingan dengan Kerajaan Perpaduan, kerana katanya asalkan langkah tersebut membawa manfaat kepada mereka.

“Macam saya sebut tadi mereka hanya fikir hal dunia, duit, peruntukan, royalti minyak. Dulu yang menyebabkan mereka mula bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad kerana royalti minyak.

“Sebab mereka tahu bila menguasai royalti minyak maka mereka juga akan menguasai kemenangan dalam sesebuah pilihan raya, kerana dengan duit bagi mereka boleh menambat hati pengundi.

“Kita tidak boleh kata mereka silap sebab sudah dibuktikan dengan duit dikumpul telah membolehkan mereka untuk membayar pengundi untuk mengundi sehingga boleh menang dengan satu jumlah yang cukup besar,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.