‘BN Nismilan’ Terus Mengorak Langkah, Semangat Jentera Tinggi Menjelang PRN – Jalaluddin

JEMPOL, 22 Jun – Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan akan terus melipatgandakan lagi usaha untuk memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan dalam masa terdekat.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata untuk itu pihaknya telah melaksanakan pelbagai perancangan dan pelaksanaan khususnya Jelajah BN Negeri ke setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam usaha menyuntik semangat jentera dan sebagainya.

Menerusi perkongsian di Facebooknya, beliau seterusnya menambah DUN Palong yang berada dalam Parlimen Jempol adalah DUN yang ke-13 dan turut bersyukur dengan keyakinan serta komitmen jentera amat tinggi.

“Alhamdulillah selesai jelajah saya di ketiga-tiga DUN yang diwakili oleh BN dalam Parlimen Jempol. Kawasan terakhir saya turun adalah DUN Palong. Sambutan yang diterima membanggakan dan mereka yang hadir adalah jentera setempat.

“Insya-Allah… semangat yang ada ini akan terus melonjak dan memberi keyakinan kepada semua untuk terus bergerak apabila gelanggang PRN dibuka nanti,” katanya.

Beliau seterusnya menambah BN negeri akan terus berjuang dalam usaha membela dan menjaga kepentingan rakyat kerana ia adalah perjuangan parti sejak dahulu dan terus kekal sehingga ke hari ini.

“Saya nak bagi tau mereka yang masuk komen di Facebook saya, hadirin yang hadir ke siri-siri jelajah ini adalah Jentera BN dari kawasan DUN yang saya turun saja. Bukan keseluruhan penyokong dan pengundi BN. Kalau nak dicampur semua, insya-Allah tak muat dewan dan tempat program tu.

“Insya-Allah ‘BN Nismilan’ akan terus berjuang untuk menang dalam PRN kali ini. Demi rakyat kita gerak bersama,” tambahnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.