UMNO Sabah Bela Rakyat, Jeffery Anggap Penyewa PPR Tidak Wajar Dibebankan

KOTA KINABALU, 21 Jun – UMNO terus memperkukuh tekad dengan melaksanakan khidmat kepada rakyat dalam memperjuangkan apa-apa sahaja khususnya berkaitan dengan keperluan semasa.

Hal ini diaplikasi oleh Ketua UMNO bahagian Putatan Jeffery Noor Mohmed yang membidas langkah kerajaan khususnya Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) ekoran meminta penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) di negeri ini yang menyewa lebih dari 10 tahun untuk mengosongkan rumah mereka.

Beliau menyifatkan langkah tersebut sebagai tindakan tergesa-gesa dan tidak wajar kerana ianya membebankan penyewa yang majoritinya golongan B40.

Menurut Jeffery, UMNO bahagian Putatan membantah sekeras-kerasnya tindakan ini dan meminta Ketua Menteri campur tangan untuk menanganinya.

“Tindakan tersebut disifatkan tidak berperikemanusian kerana rakyat ketika ini berhadapan dengan kegawatan ekonomi terutamanya golongan B40 untuk mencari penempatan baru atau menyewa rumah yang sudah tentu kadarnya sewaannya terlalu tinggi dan tidak termampu mereka bayar.

“Kerajaan negeri yang berjaya adalah kerajaan yang prihatin terhadap rakyat. Kegagalan untuk mengikuti falsafah ini hanya menunjukkan tindakan kurang bijak kerajaan yang sedia ada untuk menjamin kebajikan rakyat Sabah terpelihara.”

Menurut beliau alasan LPPB menerima teguran dari Jabatan Audit Negara kerana penyewa melebihi 10 tahun tidak rasional, berdasarkan Enakmen Housing and Town Development 1981, perkara 37 secara jelas menyatakan bahawa tugas Jabatan Audit Negara hanya untuk mengaudit akaun lembaga tersebut.

“Tidak ada sebarang kuasa diberikan kepada Jabatan Audit Negara untuk menentukan polisi yang harus dipatuhi LPPB.

“Kenapa LPPB harus akur dengan teguran tersebut sedangkan kuasa sebenar adalah di bawah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah. Sekiranya pun itu sebagai satu peraturan, kerajaan negeri perlu memberikan penjelasan kepada Jabatan Audit dan membela penyewa-penyewa PPR yang majoritinya golongan B40,” katanya dalam satu kenyataan beliau di Facebook semalam.

Menurut Jeffery kerajaan negeri perlu menjelaskan Sabah masih memerlukan projek perumahan PPR memandangkan keperluannya kepada golongan B40 begitu tinggi sementara kerajaan negeri tidak berkemampuan untuk membina lebih banyak PPR untuk keperluan rakyat khususnya untuk golongan yang berpendapatan rendah.

“Seharusnya bukan mengusir mereka yang tinggal di PPR melebihi 10 tahun yang taat membayar sewa setiap bulan. Perkara yang harus kerajaan negeri pertimbangkan ialah membantu golongan ini, agar rumah PPR yang mereka duduki ketika ini boleh dibeli (sewa dan beli) dan ini sudah tentu dapat membantu golongan B40 memiliki rumah sendiri sebagaimana yang sudah dilaksanakan di beberapa buah projek PPR di Kuala Lumpur,” jelas Jeffery.

Tambah Jeffery jika pengerusi LPPB Datuk Masiung Bana pernah mencadangkan di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah baru-baru ini berhubung dengan ketidakstabilan sistem bekalan air dan elektrik di Sabah agar rumah pemimpin turut dicatu bagi merasai keperitan rakyat biasa, tindakan mengusir penyewa PPR adalah lebih perit dari cadangan tersebut.

Tambah Jeffery yang juga Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah langkah meminta penyewa PPR melebihi 10 tahun untuk mengosongkan kediaman mereka adalah langkah ke belakang dan ini menyebabkan kawasan setinggan akan tumbuh seperti cendawan di sekitar ibu kota kerana para penyewa sudah tentu tidak mampu menyewa rumah apa lagi membeli rumah kediaman baru.

“Slogan ‘Sabah Maju Jaya’ seharusnya seiring dengan kemajuan dari segi kemudahan asas yang boleh dikecapi oleh rakyat dan sudah tentu kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri perlu melihat isu kemanusiaan ini sebagai keutamaan untuk dibela.

“Ini kerana kebanyakan penyewa ada penduduk tempatan, selaras dengan konsep PGRS parti tempatan yang memperjuangkan hak serta kepentingan rakyat Sabah,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.