Operasi Pembenihan Awan Berjaya Tingkatkan Paras Air Empangan Air Itam – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 21 Jun – Operasi Pembenihan Awan (OPA) telah dilaksanakan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama Jabatan Meteorologi Malaysia dan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) di Empangan Air Itam serta Empangan Teluk Bahang selama tiga hari bermula 11 sehingga 13 Jun lalu.

Presiden UMNO merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha pembenihan awan tersebut telah berjaya meningkatkan paras air Empangan Air Itam.

“Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama Jabatan Meteorologi Malaysia dengan kerjasama Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) telah melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang selama tiga hari bermula 11 sehingga 13 Jun 2023 lalu.

“Selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana, saya dimaklumkan bahawa berdasarkan kepada bacaan tolok hujan pada 11 hingga 13 Jun 2023, alhamdulillah hujan berjaya direkodkan pada hari pertama dan hari kedua operasi di Empangan Air Itam. Tiada rekod hujan dilaporkan di Empangan Teluk Bahang sepanjang 11 hingga 13 Jun 2023,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Jelasnya, operasi di Empangan Air Itam dan Teluk Bahang telah berjaya menghasilkan hujan serta meningkatkan kapasti air di Empangan Air Itam kepada 49.9 peratus.

“Tambahan itu, hujan direkodkan pada pagi 14 Jun 2023 sebanyak 59.0 milimeter (mm) berhampiran Empangan Teluk Bahang. Hujan juga direkodkan sebanyak 23.0mm berhampiran Empangan Air Itam pada pagi 14 Jun 2023 dan kapasiti empangan meningkat kepada 49.9 peratus.

“Operasi Pembenihan Awan di Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang telah berjaya menghasilkan hujan dan meningkatkan kapasiti air di Empangan Air Itam kepada 49.9 peratus,” katanya lagi.

Menurut Ahmad Zahid lagi, Jawatankuasa Pengurusan Bencana akan terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri bagi memastikan bekalan air mencukupi sepanjang musim Monsum Barat Daya.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana akan terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri untuk memastikan bekalan air di kawasan ‘hotspot’ mencukupi sepanjang musim Monsun Barat Daya yang dijangka akan berakhir pada September ini.

“Namun orang ramai tetap dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan menjaga serta peka terhadap persekitaran,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.