Kerjasama Terus Diperkukuh Menjelang PRN Selangor – Mohd Zaidi

BANGI, 21 Jun – Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Mohd Zaidi Md Zain penuh yakin dan percaya kerjasama yang erat dan saling kebergantungan antara parti di negeri itu akan membolehkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mampu bergerak seiring pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam tempoh terdekat.

Justeru beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bangi berharap suasana tersebut dapat memberi kelebihan kepada parti berkenaan untuk mengharungi PRN nanti setelah Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bakal dibubarkan pada Jumaat ini.

“BN dan PH seharusnya mewujudkan suasana saling kebergantungan di antara satu sama lain. Dalam erti kata lain kedua-dua parti gabungan ini mestilah saling bantu membantu dalam gerak kerja meraih undi dengan menggemblengkan jentera masing-masing sama ada di kawasan yang mereka bertanding atau tidak,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Beliau seterusnya menambah persefahaman yang ada hari ini akan diperkemaskan sebaik mungkin walaupun tempoh atau pendekatan yang dilakukan cukup singkat.

“Selain itu saya percaya walaupun dalam tempoh yang singkat, kedua-dua pihak telah bertindak pantas dalam mencari persefahaman terutama di peringkat akar umbi memandangkan pendekatan yang diambil ini begitu hampir dengan tempoh PRN.

“Dengan demikian keupayaan BN dan PH untuk mencapai kemenangan nanti akan menjadi lebih mudah. Dalam erti kata lain soal kestabilan dan masa depan rakyat di Selangor, kita akan terus perjuangkan dengan sebaiknya dan agenda pembelaan untuk rakyat dapat dilaksanakan sebaiknya setelah mendapat mandat pada PRN nanti,” ujarnya.

Sebelum ini dilaporkan, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah perkenan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu dibubar pada 23 Jun ini, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Memetik laporan, perkara itu diumumkan Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani pada Istiadat Pembubaran DUN Selangor di Balai Dewan Diraja, Istana Alam Shah, Isnin. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.