PAU 2023 Titik Mula Kesepakatan Hala Tuju UMNO – Penganalisis

KUALA LUMPUR, 19 Jun – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 yang diadakan pada 7 hingga 10 Jun lalu menjadi titik mula kepada kesepakatan hala tuju parti.

Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia (O2), Anis Anwar Suhaimi berkata, ini kerana pembawaan naratif antara ketiga-tiga sayap iaitu Wanita, Pergerakan Pemuda, Puteri dan pucuk pimpinan dilihat mencapai tujuan yang sama.

“PAU2023 menjadi titik mula kepada kesepakatan hala tuju UMNO di mana pembawaan naratif antara ketiga-tiga sayap dan pucuk pimpinan dilihat berkongsi nada serta intonasi yang sama.

“Hala tuju yang jelas khususnya menekankan peranan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan sedikit sebanyak meleraikan persoalan dari akar umbi dan langkah baharu dapat diadakan berhadapan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, para pembahas yang ditugaskan sebagai jurucakap telah bertindak sebaiknya dengan menggandakan naratif tunggal UMNO kepada seluruh perwakilan.

“Sekurang-kurangnya para pembahas juga telah sebaik mungkin menggandakan naratif tunggal UMNO semasa PAU2023 dan mesej ini telah disampaikan ke seluruh perwakilan serta akar umbi.

“Namun, sejauh mana mereka menerima dan berpegang padanya memerlukan penelitian yang lebih mendalam,” katanya lagi.

Menurut Anis Anwar lagi, para perwakilan dan akar umbi cuba untuk memberi ruang dan peluang seluasnya kepada pucuk pimpinan membuktikan keberkesanan strategi mereka dalam PRN akan datang.

“Dengan PRN yang bakal menjelma, para perwakilan dan akar umbi dilihat cuba memberikan ruang serta peluang seluasnya kepada pucuk pimpinan dalam membuktikan keberkesanan strategi mereka.

“Oleh itu, masa dan peluang tersebut perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk ahli parti terus bersolidariti di bawah kepimpinan yang utuh pasca PRN nanti,” katanya lagi.

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 telah diadakan pada 7 hingga 10 Jun lalu sebagai manifestasi kepada semangat perjuangan parti keramat Melayu yang tidak pernah luntur.

Seramai 19 orang pembahas telah berucap pada persidangan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 ini termasuk wakil dari negeri-negeri, Wanita, Pergerakan Pemuda, Pergerakan Puteri, Veteran, UMNO Siswa dan Kelab UMNO Luar Negara.

Pelbagai isu telah dibawakan oleh para pembahas termasuklah mengenai Kerajaan Perpaduan dan pengukuhan UMNO yang mampu menyuntik semangat perwakilan untuk meneruskan perjuangan parti keramat Melayu itu. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.