Kerjasama Bentuk Kerajaan Perpaduan Demi Kepentingan Rakyat, Negara – SUA

JOHOR BAHRU, 19 Jun – Kerjasama antara parti yang dijalin dalam membentuk Kerajaan Perpaduan adalah demi kepentingan rakyat, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Pendirian itu diulangi beliau bagi mengelakkan salah faham apabila masih ada segelintir pihak yang mengaitkan kerjasama di antara UMNO dan Dap.

“Kita bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) tapi dalam dia ada Dap, sebab itu adanya perjanjian tapi kena ingat beza kita dengan mereka (Pas) bekerjasama dengan Dap itu adalah secara terus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Libat Urus bersama UMNO Johor yang diadakan di Perhubungan UMNO Negeri, malam tadi.

Dr Asyraf menambah, tujuan kerjasama yang dilakukan Pas dan Dap suatu ketika dahulu adalah bagi memperkukuh kekuatan mereka dalam mengalahkan UMNO/Barisan Nasional (BN) yang memegang tampuk kerajaan.

Dalam pada itu, beliau turut berkata Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berada dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pernah menghadiri ke perhimpunan agung Dap.

“Lepas itu dia komen katanya dahulu pernah hadiri mesyuarat agung MCA namun katanya bersama Dap ini luar biasa. Dap berbeza dengan MCA.

“Mereka menyanyikan lagu parti dengan bahasa Kebangsaan sedangkan MCA pula dalam bahasa Cina, punya la hendak ambil hati Dap. Akhirnya tubuh PPBM matlamatnya hendak kalahkan UMNO, niatnya sahaja sudah tidak betul,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.