Mereka Tahu Akan Kecundang Jika Tak Dapat Sokongan Orang Melayu – SUA

JOHOR BAHRU, 18 Jun – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyelar dakwaan segelintir pihak yang mengatakan bahawa kedudukan Melayu dan Islam terancam di bawah Kerajaan Perpaduan.

Jelas beliau, kenyataan tersebut dikeluarkan pihak yang mahu menarik sokongan orang Melayu terutama menghadapi pilihan raya.

“Cakap-cakap seolah mengatakan bahawa kepentingan Islam, orang Melayu dan Bumiputera teracam hanyalah tohmahan.

“…yang mereka tahu bahawa kalau mereka tidak dapat sokongan orang Melayu dan bangsa lain mereka akan mudah kecundang pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Karnival Institusi Pendidikan MARA & Program Peace Of Mind 5.0 di Plaza Larkin, di sini.

Respon berkenaan diberikan beliau ekoran kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meluahkan keyakinan dengan sokongan orang Melayu pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Dalam pada itu beliau turut sama meluahkan kepercayaan dengan keyakinan rakyat khususnya orang Melayu berlandaskan perjuangan parti yang didukung selama ini.

“Insya-Allah orang Melayu makin yakin dengan perjuangan UMNO sebab yang paling penting kita tidak pernah meninggalkan komitmen asas-asas perjuangan UMNO.

“Soal kepentingan Melayu, Bumiputera, Islam, Raja-Raja Melayu itu adalah asas-asas perjuangan UMNO itu sendiri bahkan melihat kepada konteks Kerajaan Perpaduan pada hari ini peranan UMNO adalah untuk memastikan pasak-pasak yang telah UMNO bina sejak merdeka,” ujar beliau.

Jelas Dr Asyraf komitmen itu dapat dilihat berdasarkan agenda dasar dan pelaksanaan oleh kerajaan apatah lagi dengan kedudukan Ahli Parlimen berbangsa Melayu adalah majoriti dalam Kerajaan Perpaduan.

“Jadi apabila kita berada dengan Kerajaan Perpaduan komposisi Ahli-ahli Parlimen, menteri-menteri yang beragama Islam adalah majoriti.

“76 Ahli Parlimen adalah Islam dalam Kerajaan Perpaduan berbanding 72, dalam komposisi Kabinet 19 orang menteri beragama Islam berbanding sembilan orang sahaja bukan Islam,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.