Institut UMNO Mampu Perkasakan Lagi Parti Berdepan Cabaran – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 18 Jun – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata idea ditubuhkan Institut UMNO adalah untuk memperkasakan lagi parti berkenaan dalam pelbagai aspek termasuklah dalam aspek intelektual selain sebagai platform bagi meningkatkan pengetahuan mengenai falsafah serta perjuangan parti tersebut.

Berkongsi di laman Facebooknya, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri  menegaskan ianya adalah amat penting dalam usaha menyatukan fikrah selain mengumpulkan para pemikir dalam usaha memastikan parti terus relevan berdepan cabaran semasa.

“Ilham penubuhan Institut UMNO bertujuan untuk memperkasakan UMNO dalam aspek intelektual dan sebagai platform bagi meningkatkan pengetahuan ahli mengenai falsafah dan sejarah perjuangan, kesedaran dan kefahaman politik serta membentuk kesatuan fikrah.

“Perbincangan bersama Timbalan Presiden Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Emeritus Dr Kamaruddin M Said telahpun diadakan bagi melihat gerak kerja dan progres Institut UMNO,” katanya.

Beliau seterusnya percaya idea berkenaan sekaligus menjadikan intitusi tersebut sebagai salah satu entiti parti yang akan memberikan pelbagai manfaat kelak.

“Saya percaya ia dapat menjadi entiti penting mengumpulkan pemikir-pemikir menggarap idea dan melunakkan pandangan bagi membolehkan UMNO terus relevan dalam menempuhi kedinamikan politik dengan pendekatan lebih segar,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.