Musim PRN, Macam-macam Tohmahan Dilemparkan Musuh Politik Kepada UMNO

KUALA LUMPUR, 17 Jun – UMNO Bahagian Sik membidas kenyataan yang dikeluarkan Tan Sri Annuar Musa yang mengatakan bahawa 2 juta ahli UMNO telah keluar parti.

Ketuanya, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim berkata ianya sebagai serangan tidak berasas terutama ketika negara bakal berdepan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Musim PRN ini macam-macam tohmahan, fitnah dan kejian boleh dilemparkan kepada musuh politik.

“Setiap hari pihak dari luar UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan cuba sedaya upaya untuk memanipulasi keadaan. Dakwaan 2 juta ahli tinggalkan UMNO ini pada saya tidak ada asasnya sama sekali,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Membuktikan itu beliau berkata, mesyuarat UMNO di peringkat bahagian baru-baru ini menunjukkan sokongan di akar umbi masih lagi kuat.

“Di peringkat bahagian juga sama, malah Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini menunjukkan manifestasi sokongan ahli. Kalau 2 juta ahli sudah keluar, siapa yang memenuhi Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur minggu lepas?” soal beliau.

Muhamad Khizri dalam pada itu menasihat bekas pemimpin UMNO itu untuk tidak mengambil tahu berkenaan UMNO kerana sebaiknya fokus bersama parti yang baru disertainya.

“Jadi, Annuar janganlah hendak memutarbelitkan fakta seperti mana parti barunya buat selama ini.

“Saya percaya banyak lagi kenyataan-kenyataan yang akan mengaitkan UMNO akan dikeluarkan beliau.

“Sebaiknya eloklah beliau tumpukan kerja bersama parti dan gabungan baru dulu. Jangan lagi sibuk dengan parti orang lain,” sindir beliau.

Terdahulu, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan turut sama menyangkal dakwaan Annuar dan mengingatkan pemimpin itu untuk berwaspada dalam mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai UMNO meskipun mempunyai hak berbuat demikian. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.