Ketandusan Idea Punca PN Bangkitkan Isu Pakaian Jururawat – Azhari

KUALA LUMPUR, 16 Jun – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari menempelak ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) yang mahu kerajaan menyemak kembali etika pakaian jururawat wanita di hospital dan klinik kesihatan awam .

Menurut Azhari, tindakan itu adalah disebabkan ketandusan idea pihak pembangkang meskipun masih banyak lagi isu yang boleh dibangkitkan termasuk fasiliti kesihatan kerajaan.

“Pembangkang ini sudah ketandusan isu, dia sepatutnya turun ke hospital dan klinik melihat fasiliti yang sepatutnya dinaiktaraf atau membantu permudahkan pesakit dari segi proses mendapat ubat, berjumpa doktor, mendapatkan rawatan.

“Saya juga selalu menziarah orang di hospital, tidak ada ketat pun pakaian itu, tiada yang menjolok mata.  Dia lebih tumpu kepada pakaian, dahulu masa dalam kerajaan tidak pula ada bercakap berkenaan ini,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Terdahulu pada sesi Dewan Rakyat semalam, Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor menggesa kerajaan melihat semula etika berkenaan supaya golongan itu diberi pilihan untuk memilih pakaian yang lebih sesuai.

Perkara ini mendapat perhatian Kesatuan Jururawat Malaya yang berkata saiz uniform setiap jururawat di hospital dan klinik kerajaan mengikut spesifikasi dan peraturan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Azhari dalam pada itu meluahkan kekesalan kepada rakyat di Kuantan yang mempunyai Ahli Parlimen tidak kompeten dalam mewakili mereka di Dewan Rakyat.

“Saya rasa Ahli Parlimen itu sepatutnya lebih fokus mencari isu yang benar-benar menjuarai rakyat bukannya hendak mencari populariti murahan.

“Kesian dengan pengundi kuantan kerana inilah dia pemimpin yang mewakili mereka di parlimen,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.