Hormati Institusi Presiden, Itu Tanda Kita Mencintai UMNO – Sharif Musa
KUALA LUMPUR, 16 Jun – Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul berharap Institusi Presiden dihormati kerana ianya merupakan warisan sistem parti yang masih kekal sehingga ke hari ini.
Jelas beliau, Institusi Presiden adalah satu institusi tradisional yang sedia ada sebagai teras sistem menjaga Perlembagaan dan pentadbiran UMNO yang telah wujud sejak pertubuhannya.
“Bila kita menjaga dan menghormati Institusi Presiden. Itulah tanda kita mencintai UMNO yang bakal diwariskan kepada anak-cucu kita. Insya-Allah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Mengulas lanjut, Sharif Musa turut sama memberi pandangan berkenaan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan meminta untuk pemimpin itu kembali ke pangkal jalan dengan hati terbuka dan redha.
Katanya ini kerana ramai generasi baharu yang mengemudi UMNO bahagian sekarang ini menyayangi Tun Hussein Onn, Perdana Menteri Malaysia ketiga yang berkhidmat dari tahun 1976 sehingga 1981 yang sangat cintakan UMNO dan menghormati Institusi Presiden.
“Kemungkinan akibat Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menjadi Perdana Menteri terlupa mengapa Hishammudin digantung? Kenyataan yang amat melucukan buat rakyat Malaysia! Ada yang terkentut ketawa terbahak-bahak akibat kenyataan Hishammudin.
“Hishammuddin terpaksa digantung keahlian kerana memainkan peranan utama mengumpulkan sokongan untuk Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri selepas PRU15.
“Beliau pernah berkata ‘saya rela dipecat oleh parti namun tidak akan sesekali mengubah pendirian teguh ini. No Anwar, No Dap” tegas beliau.
Terdahulu Hishamuddin sebelum ini mempertikai undangan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke Perhimpunan Agung UMNO kepada pemimpin yang dipecat dan digantung untuk menyertai semula parti itu, kerana sangsi dengan keikhlasan jemputan itu. – UMNO Online