Kerjasama Pada PRN, Strategi Terbaik Perkukuh Kekuatan Dan Kemenangan – Lokman

KUALA LUMPUR, 15 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berpandangan kerjasama bersama Pakatan Harapan (PH) bagi berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah strategi terbaik bagi memperkukuh kedudukan parti.

Katanya, situasi politik yang tidak menentu menuntut UMNO melalui kerjasama tersebut kerana kemenangan adalah kunci utama bagi parti.

“Sebagai parti politik apa yang kita harapkan, menang pilihan raya atau kalah? Kalau bertanding solo di Selangor, kita bungkus… satu kerusi pun tidak ada. Kalau bersama dengan PH, berpakat ada kerusi kita bertanding, ada juga kerusi PH bertanding.

“Walaupun hakikat Pilihan Raya Umum ke-15, Barisan Nasional (BN) tak menang satu kerusi pun hanya lima Dewan Undangan Negeri, BN ada undi lebih daripada PH tetapi kita tetap kalah dengan Perikatan Nasional (PN).

“Jadi apa yang kita kena buat satukan kekuatan PH dan BN supaya kita dapat peluang menang pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi siaran langsung di laman Facebooknya, malam tadi.

Mengulas lanjut Lokman yang juga Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia berkata amat penting untuk UMNO berada dalam kerajaan bagi memastikan hak-hak keistimewaan seperti terkandung pada Perlembagaan terus terpelihara.

Namun begitu, jelas beliau perkara tersebut tidak akan dicapai sekiranya UMNO mengambil keputusan untuk bergerak solo.

“Hendak pastikan bahawa hak orang Melayu dikekalkan, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu, Raja-raja dipertahankan.

“Suka atau tidak kita kena terima hakikat yang boleh mempertahankan perkara-perkara ini ialah UMNO.

“… tetapi persoalannya UMNO sudah tidak boleh memerintah secara bersendirian akibat daripada sabotaj dalaman, hari ini UMNO kena juga dapat sokongan daripada bukan Melayu,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.