Tindakan Pas Samakan Isu Pemilikan Rumah Pulau Pinang Dengan Palestin Dikemuka Tanpa Fakta

KUALA LUMPUR, 14 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Ir Dr Shaik Hussein Mydin menempelak Pas yang menyamakan isu pemilikan rumah di Pulau Pinang dengan Palestin di laman rasmi Twitter parti itu.

Katanya, kesemua hujahan dikemuka adalah tanpa fakta sebaliknya dilakukan dengan penuh sentimen bagi menanam kebencian.

“Bilalah hampa nak beriman dan berakal? Ternyata Pas sekali lagi cuba memainkan sentimen agama yang dan cuba menanamkan kebencian tanpa fakta,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Mengulas lanjut berkenaan isu ini tanah di negeri ini beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang berkata kerajaan Persekutuan dan negeri telah banyak mewujudkan kawasan-kawasan penempatan Melayu.

Menurut Shaik, pembangunan ini hakikatnya memberikan kerugian besar kepada kerajaan apabila tanah-tanah strategik dibina dengan perumahan mampu milik dan perumahan kos rendah di Pulau dan Seberang Perai.

“Malahan prasyarat bagi tanah-tanah PERDA dibina dengan hanya rumah mampu milik juga disyaratkan oleh kerajaan negeri, malahan kerajaan negeri juga mensyaratkan PERDA membina rumah kos rendah di kawasan-kawasan yang orang-orang Melayu tidak mampu memiliki rumah mampu milik.

“Terdapat hampir 5,000 hingga 10,000 rumah sedang dan telah dibina oleh PERDA sendiri dan kerajaan negeri di bahagian seberang dan pulau dihampir kesemua daerah dengan kerugian ratusan juta kepada kerajaan Persekutuan dan juga kerajaan negeri demi memastikan perumahan mampu milik bagi rakyat Pulau Pinang.

“Tidak kurang 2,000 rumah mampu milik akan dan sedang dibina di Parlimen Melayu seperti Kepala Batas, Tasek Gelugor, Permatang Pauh dan Balik Pulau dengan pulangan yang sangat minima kepada kerajaan,” tegas beliau.

Beliau juga berpandangan sepatutnya Pas Pusat menyemak fakta pembangunan daripada bekas Pengerusi PERDA yang juga ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Shabudin Yahya dan Khaliq Mehtab serta bekas Lembaga Pengarah PERDA, Yusni Mat Piah.

“Mereka terlibat dalam keputusan-keputusan dan tahu tentang sumbangan pembangunan perumahan oleh PERDA dan kerjasama serta pengecualian yang diberikan oleh kerajaan negeri bagi memastikan harga rumah dapat dikurangkan bagi orang-orang Melayu Islam Pulau Pinang.

“Saya bersedia untuk datang ke mana-mana forum bagi memperjelaskan perkara ini kepada ahli Pas Pulau Pinang yang berakal dan bukan kaki fitnah… kalau Sanusi lagi bagus pasai dia kan oghang Tanjung Kedah,” sindir beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.