Beri Elaun Atau Tetap Harga Syiling Rumah Sewa Bantu Mahasiswa – Dr Akmal

KUALA LUMPUR, 14 Jun – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berharap kerajaan untuk menimbang masalah berkaitan isu kediaman mahasiswa di universiti.

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh memberikan beberapa cadangan bagi mengatasi masalah ini termasuk melalui pemberian elaun dan penetapan harga syiling rumah sewa.

“Kami mohon juga untuk melihat isu asas bagi adik-adik mahasiswa yang sehingga kini masih tidak dapat diselesaikan iaitu isu penempatan tempat tinggal mereka di universiti.

“Pergerakan Pemuda UMNO ingin mencadangkan dua cadangan untuk kita sama-sama membantu mengenai isu ini. Diwujudkan elaun sewa rumah bagi adik-adik mahasiswa yang tidak mendapat penempatan di hostel terutama dari keluarga yang kurang berkemampuan.

“Penetapan harga syiling rumah sewa di kawasan sekitar universiti supaya tidak ada tuan rumah yang menaikkan harga sewa sesuka hati,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Dalam pada itu, Dr Akmal yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin meluahkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan kadar bayaran elaun kepada pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Kenaikan sebanyak RM100 itu katanya sebagai langkah mengambil kira kos sara hidup yang tinggi, sekali gus membebankan golongan mahasiswa. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.